My FoLLoWers~TQ~

Ahad, 19 Disember 2010

Makanan Untuk Tulang

Rasanya ramai di antara kita yang kurang mementingkan penjagaan tulang. Apatah lagi jika masih muda belia tentunya tak rasa penting nak jaga kesihatan tulang. Maklumlah belum lagi terasa sakit-sakit sendi, atau sakit belakang. Esok-esok bila dah sakit barulah agaknya sibuk nak cari petua untuk maintain kekuatan tulang-temulang. Jadi apa kata semasa masih muda dan sihat inilah kita ambil tahu akan makanan yang boleh mengekalkan keremajaan tulang.

Kalsium
Merupakan mineral utama untuk pembentukan tulang. Jika kita kekurangan kalsium, tubuh akan mengambilnya daripada tulang dan ini akan menyebabkan masalah tulang rapuh. Kuantiti kalsium yang diperlukan sehari ialah antara 1000 mg - 1200 mg. Sumber kalsium boleh didapati daripada susu, bijirin, sayuran yang berwarna hijau gelap seperti bayam dan kangkung, ikan Sardin dan ikan-ikan lain yang dimakan bersama tulangnya dan produk-produk tenusu seperti yogurt, dadih dan keju. 


Vitamin C
Vitamin C bertindak membantu pembentukan tulang rawan dan seterusnya membentuk jaringan sendi yang sihat. Untuk hasil yang maksimum, disarankan kita mengambil 1000 mg vitamin C setiap hari. Selain pil-pil vitamin C yang berada di pasaran, kita juga boleh mendapat vitamin C secara semulajadi melalui pengambilan buah-buahan seperti tomato, pisang, nanas, oren dan betik. 


Vitamin D
Ia penting dalam membantu tulang menyerap kalsium daripada makanan sehingga 2.5 kali ganda! Kuantiti yang diperlukan sehari ialah 200 - 400 IU. Ubi kentang, sardin dan ikan tuna merupakan sumber vitamin D yang baik. Selain itu pendedahan kulit kepada cahaya matahari sebelum jam 9 pagi dan selepas jam 5 petang juga membantu tubuh dalam mendapatkan vitamin D. 


Vitamin B12
Kekurangan vitamin ini boleh melemahkan kekuatan tulang. Pengambilan multivitamin yang mengandungi vitamin B12 sebanyak 2.4 mkg boleh membantu mengatasi masalah ini. Antara makanan yang mengandungi sumber vitamin B12 ialah telur, hati, daging dan ikan. 


Zat Besi
Ia membantu menyalurkan oksigen ke sel-sel darah yang diperlukan oleh anti oksidan bagi mengatasi kerosakan pada sendi. Zat besi boleh diperolehi daripada tomato, avokado, pisang dan kurma. 


Protein
Jumlah protein yang diperlukan untuk kesihatan tulang ialah  45 -56 g sehari. Terdapat banyak makanan yang mengandungi protein seperti ikan, bijirin, telur, kekacang, susu dan daging. 


Magnesium
Jisim tulang boleh ditingkatkan dengan pengambilan magnesium sebanyak 400 mg sehari. Sumber utama magnesium ialah ikan, almond, bayam, pisang dan kismis. 


Kalium
Ia membantu pembentukan tulang dengan mengambilnya sebanyak 4700 mg sehari. Kalium boleh didapati daripada makanan-makanan ini : kacang tanah, almond, ikan salmon, pisang, strawberi, aprikot, kentang, kobis, mentimun, terung, lobak, kunyit, ikan tuna, brokoli, bayam dan tomato. Wah!!! Banyak bukan.


Nampaknya dengan mengambil sejenis makanan seperti bayam, susu atau pun pisang sudah merangkumi beberapa mineral dan vitamin yang diperlukan oleh tulang. Tak susah untuk amalkannya memandangkan makanan-makanan ini tidak sukar didapati di negara kita. Pokok pangkalnya malas atau rajin, disiplin atau tidak, itu saja kan.

Isnin, 6 Disember 2010

DOA AKHIR TAHUN

Esok kita dah nak sambut satu lagi tahun baru Islam kan....1432 Hijrah. Alhamdulillah dipanjangkan lagi umur kita untuk bertemu dengan tahun baru ini. Sebagai insan biasa dah tentu tak lepas daripada melakukan kesilapan-kesilapan sepanjang tahun yang bakal berlalu. Apabila nak melangkah ke tahun yang baru kita digalakkan memohon ampun ke atas kesilapan-kesilapan lalu dan berazam untuk memperbaiki kelemahan diri pada masa-masa hadapan. Jadi menjelang akhir tahun ini jangan lupa dibacakan doa ini :

 
بسم الله الرحمن الرحيم

"Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan pada tahun ini daripada perkara2 yang Engkau tegah aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. 
Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya.
Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkan ku dengan taubat selepas keberanianku melakukan semua dosa-dosa itu. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. 
Dan tidaklah aku melakukan perkara2 selain yang Engkau redhai dan Engkau menjanjikan ku pahala atas yang demikian itu. 
Maka aku memohon kepada Mu. 

Wahai Tuhan, wahai Yang Maha Pemurah, wahai Yang Maha Agung dan Yang Maha Mulia, 
terimalah taubatku dan janganlah Engkau hampakan harapan ku.
Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka."

Sesiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata : 
"Hampalah kami pada sepanjang tahun ini"





Jumaat, 3 Disember 2010

Indahnya Melaka

Rasa teruja sungguh bila tiba di Melaka. Mana taknya tempat-tempat dan bangunan-bangunan yg selama ini hanya dapat dilihat menerusi buku-buku sejarah dan TV kini terbentang di depan mata. Tercari-cari bangunan peninggalan Portugis yang paling popular iaitu A'Famosa....dan....dah nampak, nun di depan sana. Disinari cahaya lampu di waktu malam, bangunan tua yang telah berusia 500 tahun ini terlihat masih gagah berdiri.


A'Famosa
Juga dikenali sebagai Porta De Santiago, merupakan sebuah kubu lama yang dibina oleh Laksamana Portugis yang telah berjaya menakluk Melaka iaitu Alfonso d'Albuquerque pada tahun 1511. Tempat ni kiranya wajib dilawati jika ke Melaka. Waktu malam pun masih ada pengunjung yang melawatnya, apatah lagi waktu siang, berpusu-pusu orang datang. Kebetulan masa kami ke sini, cuti sekolah dah mula, maka banyaklah rombongan sekolah yang kelihatan di sini.


Runtuhan Gereja St. Paul
Di belakang A'Famosa ialah bukit St. Paul. Di atas bukit inilah terletaknya runtuhan gereja St. Paul yang tidak digunakan lagi. Dibina pada tahun 1521 oleh seorang kapten Portugis beragama Katholik iaitu Duarte Coelho. Selepas Belanda mengambil alih gereja ini, ia dinamakan gereja St. Paul. Menurut sejarah, St. Francis Xavier dikebumikan di sini pada tahun 1553, sebelum mayatnya dipindahkan ke Goa, India.


Bangunan yang kelihatan sangat usang ini, begitu indah dan berseni pada pandanganku. Senibinanya ringkas tetapi artistik. Bumbungnya telah tiada dan banyak terdapat kubur2 Portugis dan Belanda di dalamnya dan juga di persekitaran luar gereja. Ada juga yang cari makan di sini dengan berniaga di luar bangunan dan ada yang menyanyi sambil bermain gitar di dalam bangunan. Sungguh ramai pelancong asing ke sini, terutamanya dari Britain dan Japan. Dari luar perkarangan gereja, boleh dilihat pemandangan indah negeri Melaka seperti Selat Melaka, menara Taming sari dan replika kapal Portugis.

Muzium Islam
Menuruni bukit St. Paul kami ke muzium Islam pula yang terletak di kaki Bukit St. Paul. Bangunan yang menempatkan muzium ini asalnya adalah bangunan Belanda dan juga British. Dulunya tempat ni digunakan sebagai pejabat majlis agama Islam Melaka. Di dalamnya dipamerkan replika2 masjid tua dari serata negeri, mimbar antik dan barang2 yang digunakan pada zaman kegemilangan Islam.


Muzium Rakyat, Muzium Kecantikan dan Muzium Layang-layang


Ketiga-tiga muzium ini terletak di dalam sebuah bangunan tiga tingkat dan tak jauh dari muzium islam. Sebenarnya terdapat 22 buah muzium semuanya di seluruh negeri Melaka dan majoritinya adalah di Kota Melaka. Dengan tiket serendah RM1 anda boleh menyaksikan pelbagai barangan unik peninggalan sejarah. Kesemua muzium ini diselenggarakan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Muzium Rakyat mendokumentasikan pembangunan sosial dan ekonomi negara. Muzium kecantikan meyimpan barang-barang seperti kasut cina dan anting-anting yang digunakan manusia dahulu untuk mencantikkan diri. Manakala di dalam muzium layang2 pula terdapat pelbagai bentuk layang-layang yg cantik dan unik. Bersebelahan muzium ini ialah Muzium Dunia Melayu.

Istana Kesultanan Melaka (Muzium Budaya)
Replika istana ini juga adalah tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi. Terletak di kaki bukit St. Paul, bila berada di sini, terasa bagaikan berada di zaman silam. di dalamnya dipamerkan pelbagai pakaian tradisional dari semua negeri di Malaysia, alat-alat kebesaran Di-raja, replika-replika kecil istana Raja-Raja Melayu, peralatan muzik dan barang-barang perhiasan lama. Patung-patung yang menceritakan tentang pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat juga antara yang menarik. Terdapat sebuah balairong seri yang menempatkan patung-patung Raja dan pembesar-pebesar istana seperti yang biasa kita lihat dalam filem-filem Melayu lama.


Muzium Maritime @ Muzium Samudera

Ianya merupakan sebuah replika kapal Portugis Flor de la Mar yang pernah karam di perairan Melaka. Muzium ini juga sangat menarik untuk dikunjungi dan terasa seperti menaiki kapal yang sangat besar. Antara barang-barang yang dipamerkan ialah patung Hang Tuah, model kapal, peta asal dan peti besi lama. Bersebelahan kapal ini ialah Muzium Marin dan Muzium Kastam.

Masjid Kampung Hulu
Terletak di Chinatown, ia adalah antara yang tertua di Malaysia. Dibina pada tahun 1728, ia mempunyai senibina unik pengaruh Cina dan Sumatera. Majoriti masjid di Melaka mempunyai rekabentuk yang begini dengan bumbung berbentuk piramid atau minangkabau dan menara berbentuk pagoda.

Masjid Kg Hulu ni adalah yg utama bagi masyarakat Islam di sini kerana dipercayai mempunyai keramat. Menurut masyarakat setempat ramai penduduk tempatan mahupun yang datang dari jauh datang bersolat di sini dan meminum air kolahnya untuk memohon hajat, dan kebanyakan hajat telah tertunai. Aku juga sempat mengambil dua botol air kolah masjid ini untuk dibawa pulang walaupun tidaklah begitu percaya dengan dakwaan tersebut. Tak jauh dari masjid ini ialah sebuah lagi masjid tua yang dibina pada tahun 1748, iaitu masjid Kg Keling. Berhampiran masjid Kg Keling ialah sebuah tokong lama yang dibina pada tahun 1646 iaitu Tokong Cheng Hoon Teng.

Melaka River Cruise
Jika ke Melaka jangan lepaskan peluang menaiki MRC yang cukup popular di kalangan pelancong ini. Tahun ini saja dah lebih setengah juta orang yang menaiki bot MRC ini. Walaupun harga tiketnya mungkin mahal sedikit iaitu RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, namun pengalaman menyusuri Sungai Melaka yang terletak di tengah-tengah Kota Melaka ini tentunya tidak mengecewakan. Pelancong akan dibawa dari Taman Rempah hingga Muara Sg Melaka yang mengambil masa kira-kira 45 minit. Antara pemandangan yang boleh dilihat di sepanjang sungai Melaka ialah Kg Morten, kincir air, jambatan, bangunan-bangunan lama dan eye on Melaka. Bot ini beroperasi hingga waktu malam. Pada malam hari pelancong akan berpeluang menikmati keindahan cahaya lampu yang di pasang pada pokok-pokok, tembok-tembok jalan dan bangunan di sepanjang sungai.


Jonker Walk
Jonker Walk atau Jalan Hang Jebat merupakan jantung hati Kota Melaka lama. Di sinilah terdapatnya galeri-galeri seni, kedai-kedai antik, tukang emas, kedai baiki jam, pengeluar kasut manik dan kedai-kedai makan. Ia boleh juga dikatakan seperti chinatown kerana majoriti pekedai-pekedai di sini ialah dari kaum cina. Jalan ini akan lebih meriah pada setiap petang jumaat, sabtu dan ahad dengan adanya pasar malam yang diadakan oleh kaum cina juga. Bersesuaian dengan nama jalan ini, terdapat satu lorong untuk ke makam Hang Jebat di sini.


Kompleks Stadthuys
Bangunan ini dibina oleh Belanda antara tahun 1641 - 1660. Merupakan pejabat pentadbiran Belanda yang menempatkan kediaman rasmi gebenor-gabenor Belanda dan pegawai-pegawainya. Suatu ketika dulu, bangunan ini juga menempatkan Majlis Bandaran Melaka dan kini ia dijadikan muzium. Terdapat 5 buah muzium di dalamnya iaitu Muzium Sejarah Melaka, Muzium Sastera, Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Galeri Laksamana Cheng Ho dan Muzium Pemerintahan Demokrasi. Berdekatan bangunan Stadthuys ini ialah jam besar, Gereja Christ dan Muzium Belia yang juga merupakan bangunan tinggalan Belanda. Apa yang menarik kesemuanya berwarna merah salmon.


Dataran Portugis
Terletak di perkampungan Portugis yang berhampiran laut Melaka. Terdapat berbagai-bagai aktiviti kebudayaan Portugis di sini pada setiap hari sabtu, tetapi kami ke sana pada malam isnin itu hanyalah untuk menikmati masakan Portugis sahaja. Enak juga masakan Portugis, hingga kini masih terkenang-kenang kelazatan ikan bakar jenahaknya yang pedas, scallop masak mentega dan kangkung goreng. Selain masakan Portugis, kami juga sempat merasa masakan baba & nyonya di Melaka Sentral. Sedikit terkilan kerana tak sempat merasa asam pedas Melaka yang terkenal dan juga makanan laut di Umbai.


A'Famosa Animal World Safari



Setelah puas menyelusuri Kota Melaka selama 3 hari, kali ni destinasi kami jauh dari bandar. A Famosa Resort terletak di Alor Gajah, Melaka, kira-kira 35 km dari Bandar Melaka. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit itu akhirnya menemukan kami dengan sebuah resort yang cantik seluas 520 hektar.

A Famosa Resort merangkumi Cowboy Town, Water World dan Animal World Safari. Kami hanya ke Animal World Safari dan menghabiskan masa di sini sehari suntuk. Harga tiket bagi dewasa ialah RM48 dan RM38 bagi kanak-kanak (termasuk lunch). Antara yang menarik di sini ialah menyaksikan 4 jenis pertunjukan iaitu elephant show, multi animal show, bird show dan wild wild west show. Pengalaman menunggang gajah di sini buat pertama kali merupakan kenangan yang tak dapat dilupakan. Selain show, kami juga tak lepaskan peluang menjelajah ladang-ladang haiwan seperti seladang, rusa, harimau dan singa dengan truck. Pulau monyet juga sesuatu yang wajib dikunjungi jika ke sini.

Perigi Hang Li Poh
Dalam perjalanan pulang ke Bandar Melaka dari A Famosa Resort, singgah pula di perigi Hang Li Poh yang dibina pada zaman Sultan Mansur Syah dalam tahun 1459. Sultan membina perigi ini khas buat isterinya yang merupakan puteri Raja dari negara China pada zaman Dinasti Ming. Terletak di Bukit Cina, perigi ini sekarang digunakan orang untuk memohon hajat dengan membaling syiling ke dalamnya. Jika meminum airnya dipercayai orang tersebut akan kembali semula ke Melaka.


Sebenarnya masih banyak lagi tempat2 menarik di Melaka yang tak sempat dikunjungi seperti Ayer Keroh yang menempatkan zoo Melaka, hutan rekreasi, Mini Malaysia, Mini Asean, taman buaya dan taman kupu-kupu. Di sekitar Bandar Melaka sendiri pun masih banyak tempat yang tak sempat pergi seperti kubu St. John, makam Hang Tuah, muzium warisan Baba & Nyonya, Muzium Chitty dan Kg Morten (Muzium Hidup). Memang tak rugi ke Melaka, negerinya indah, rakyatnya juga ramah.

Rabu, 1 Disember 2010

Adakah KIAMAT sudah hampir????

22 Tanda Kiamat Semakin Hampir

1. Solat diabaikan (di ringan2kan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui internet, iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan yg salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka kepada ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya.

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

13 Tanda-tanda Kiamat Lain

1) Penaklukan Baitulmuqaddis
Dari Auf b. Malik r.a. katanya,Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku menghitung 6 perkara menjelang hari kiamat".Baginda menyebutkan salah satunya ialah penaklukan Baitulmuqaddis - Sahih Bukhari.

2) Zina bermaharajalela
'Dan tinggallah manusia2 yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.'- Sahih Muslim.

3) Bermaharajalela alat muzik
"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan & perubahan muka". Ada
yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?'Baginda menjawab: "Apabila telah
bermaharajalela bunyian(muzik) & penyanyi² wanita"- Ibnu Majah

4) Menghias masjid & membanggakannya
"Di antara tanda2 telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegahan dalam mendirikan masjid"- Riwayat Nasai.

5) Munculnya kekejian, memutuskan kerabat & hubungan dengan tetangga tidak baik
"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan & perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim & sikap yang buruk dalam tetangga."- Riwayat Ahmad dan Hakim.

6) Ramai orang soleh meninggal dunia
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang2 yang baik & ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang2 yang hina & buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran" - Riwayat Ahmad

7) Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat
"Di antara tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang jahat & hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh 2 orang mulia'- Riwayat Thabrani

8) Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja
"Sesungguhnya di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.'- Riwayat Ahmad

9) Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. "Di antara tanda² telah hari kiamat ialah akan muncul pakaian² wanita & apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang".

10) Bulan sabit kelihatan besar
"Di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit"- Riwayat Thabrani.

11) Banyak dusta & tidak tepat dalam menyampaikan berita
"Pada akhir zaman akan muncul pembohong2 besar yang datang kepadamu dengan membawa berita2 yang belum pernah kamu dengar & belum pernah didengar oleh bapa2 kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu & memfitnahmu" - Sahih Muslim.

12) Banyak saksi palsu & menyimpan kesaksian yang benar
"Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu & disembunyikan kesaksian yang benar."-Riwayat Ahmad.

13) Negara Arab menjadi padang rumput & sungai
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga negera Arab kembali menjadi padang rumput & sungai²"- Sahih Muslim.

~~Wallahu alam~~

Sabtu, 27 November 2010

Minuman Yang Kurangkan Stres

Gaya hidup zaman ini membuatkan kita sering dilanda stres kan....banyak sangat yang nak difikirkan, kerja2 di pejabat la, anak2 dan rumah tangga, itu belum lagi masalah kewangan dan lain-lain. Stres dibuatnya....ada orang bila stres, makan pun makin banyak macam lepas geram. Sudahnya berat badan naik mencanak bagai dipam2, bertambah2 la stres jadinya bila rakan-taulan ejek2 pasal berat badan kita ataupun bila baju kegemaran dah tak muat nak pakai...huhuhu....Selain mengambil wuduk, solat dan berdoa apa agaknya lagi ikhtiar kita untuk kurangkan stres, jom kita teliti tips2 di bawah ini.

SUSU
Susu mengandungi tryptophan yang diubah menjadi serotonin melalui metabolisme tubuh. Serotonin dikatakan mampu meningkatkan mood kita. Selain itu kandungan magnesium, kalsium dan kalium di dalam susu membantu menjaga tekanan darah anda.


COKLAT PANAS
Minuman hangat seperti coklat panas akan menaikkan suhu tubuh sehingga kita akan berasa lebih selesa dan nyaman. Selain tubuh yang selesa, otak juga akan merasai keselesaannya.

TEH HITAM
Menurut kajian Universiti College London, dengan meminum teh hitam sebanyak empat kali sehari, berupaya untuk menurunkan kadar hormon kortisol yang menyebabkan stres.

TEH HIJAU
Selain teh hitam, teh hijau juga berupaya menurunkan stres melalui kandungan thianin didalamnya. Thianin berupaya meningkatkan lagi kandungan hormon rileks pada otak. Selain itu ia memacu penghasilan gelombang alfa dan mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh gelombang beta.

AIR SEJUK
Minum segelas air sejuk dan jalan2 lah seketika di ruangan kerja atau rumah anda. Lebih elok lagi jika kawasan tersebut mempunyai pemandangan yang menenangkan seperti rimbunan pohon2, bunga2an, bukit-bukau atau air yang mengalir. Melalui cara ini cairan di dalam tubuh akan bergerak dan hormon endorphin akan terhasil sehingga meredakan stres anda.

Jumaat, 19 November 2010

Makanan Yang Menyuburkan Rambut

Rambut bukan sahaja mahkota wanita tetapi juga amat penting untuk penampilan kaum adam. Tanpa rambut yang cantik, sihat dan lebat, wajah yang cantik dan tampan menjadi tidak bermakna. Kadang2 kita gusar apabila melihat rambut yg kusam dan gugur banyak setiap hari. Ada juga yang telah beruban sedangkan usia masih muda belia. Kos rawatan rambut pula mencecah ratusan dan ribuan ringgit. Sebagai ikhtiar mungkin kita boleh mencuba cara yang murah ini untuk menyuburkan rambut.


Salmon
Ikan salmon mengandungi omega-3, vitamin B-12 dan zat besi yang sangat berguna untuk menyihatkan kulit kepala. Kekurangan zat2 ini boleh menyebabkan kulit kepala dan rambut menjadi kering.

Sayur-sayuran Hijau
Sayur-sayuran hijau seperti bayam, brokoli dan kacang panjang adalah sumber terbaik untuk mendapatkan vitamin A, C, zat besi dan kalsium yang menghasilkan sebum. Sebum melembapkan rambut dengan menghasilkan minyak.

Kacang
Rambut yang berkilau cantik boleh diperolehi dengan memakan kacang. Kacang seperti walnut mengandungi asid lemak omega-3 yang membantu melembapkan rambut. Badam pula merupakan sumber zink yang baik yang berupaya menyihatkan rambut. Sesetengah kacang juga mengandungi vitamin B6 dan folate yang membantu tubuh menghasilkan sel-sel yang menghantar semua nutrisi makanan ke setiap helai rambut dan folikel rambut. 

Susu Rendah Lemak
Susu atau produk tenusu seperti yogurt adalah sumber kalsium yang baik. Kalsium adalah mineral penting untuk pertumbuhan rambut.

Kismis
Zat besi yang terkandung dalam kismis adalah sumber penting yang membantu sel2 darah merah membawa oksigen dan nutrisi ke seluruh organ tubuh termasuklah ke folikel2 rambut. Jumlah oksigen yang cukup akan merangsang pertumbuhan rambut.


Makanan Laut
Unsur2 zink yang terdapat di dalam makanan laut seperti udang, sotong dan ketam berguna untuk pertumbuhan sel reproduksi, keseimbangan hormon dan yang paling penting mengatur kelenjar di akar rambut yang menyuburkan rambut. 


Tauge
Silika yang ada di dalam sayur tauge adalah amat penting sekali untuk rambut kerana unsur inilah yang menyerap vitamin dan mineral bagi menyihatkan rambut.


Ubi Kentang
Kentang mengandungi silika dan zink yang baik untuk pertumbuhan rambut yang lebih sihat.


Cendawan
Mungkin ramai yang tidak tahu cendawan juga mengandungi unsur zink. Seperti yang telah dibicangkan di atas zink adalah unsur yang mengatur kelenjar rambut. 


Ayam dan Telur
Rambut akan tumbuh dan juga gugur setiap bulan secara semulajadi. Jadi anda tidak perlu risau sekiranya terdapat rambut yang gugur setiap hari, kerana ia adalah sesuatu yang normal. Namun jika gugur terlalu banyak dan hampir menyebabkan anda botak, anda perlu berikan perhatian yang serius tentang hal ini kerana ia mungkin disebabkan oleh kekurangan protein.  Protein seperti yang terdapat di dalam ayam dan telur diperlukan bagi mempercepatkan pertumbuhan rambut kembali. Pilihlah ayam tanpa lemak kerana lemak berlebihan boleh menyebabkan pengurangan rambut di kepala. 





Rabu, 17 November 2010

Solat Raya Dengan Jeans Sendat & Kain Belah

Selalunya jika tak balik kampung, aku akan bersolat sunat raya di masjid yang berhampiran dengan tempat kerja. Biarpun jauh sedikit, namun aku tak kisah kerana suka dengan suasananya. Nyaman terasa bila berada di masjid yang sebahagian kosnya adalah sumbangan Raja Arab Saudi yang terdahulu. Tapi raya aidil adha kali ni, aku & keluarga bertukar arah, solat kat masjid yang dekat dengan rumah pula di bandar BB.


Masjid BB ni sebenarnya agak terkenal di daerah ini kerana aktif dalam menganjurkan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan seperti kursus perkahwinan dan program untuk pelajar2 sekolah. Sebuah pejabat Pusat Urus Zakat juga berada di sudut masjid ini. Ketika bulan Ramadhan, lagilah bertambah meriah, bukan setakat ramainya orang datang solat terawih di sini tetapi juga kerana terdapat bazar Ramadhan yang besar dan popular di tempat parkir masjid. Kadang2 pihak masjid akan menyewakan padang tempat letak keretanya kepada peniaga2 yang ingin mempromosikan jualan mereka seperti perabot dan pakaian.

Aku teringat beberapa artis dan personaliti terkenal yang berasal dari sini pernah melangsungkan pernikahan mereka di masjid ini. Beberapa bulan dulu, sepupu perempuanku juga menjadikan masjid ini sebagai tempat untuk diijab kabul. Pendek kata, pihak pengurusan masjid begitu cekap dalam mengimarahkan masjid yang terletak di tengah-tengah bandar dan di kelilingi gedung2 pasaraya yang besar dan terkenal. Ia juga berdekatan dengan hotel Seri Malaysia dan Hospital Pantai.

Ketika menunggu untuk menunaikan solat, khatib membuat beberapa pengumuman tentang cara2 mengerjakan solat sunat Aidil Adha. Setelah itu, khatib tersebut membuat pengumuman di dalam bahasa Inggeris dan meminta jemaah2 yang berasal dari Bangladesh menunggu sehingga selesai khutbah. Kerana selalunya mereka akan meninggalkan masjid setelah selesai solat disebabkan tidak memahami khutbah yang dibacakan dalam bahasa Melayu. Memang ramai warga asing terutamanya dari Bangladesh dan Indonesia yang solat di sini.

Selesai solat, apabila masing2 dah buka telekung solat, barulah kelihatan baju2 raya yang dipakai. Aku tersenyum sendiri bila melihat ada yang mengenakan selendang yang berkilat2 seperti pengantin, recycle baju pengantin agaknya.....hehhehehe....Aku sendiri mengenakan baju raya yang telah dikenakan semasa Hari Raya Aidil Fitri yang lalu kerana baju yang kutempah tidak menjadi (hampehhhh....). Macam2 fesyen dan warna yang dipakai namun masih sopan. Tapi yang mengejutkan apabila terdapat beberapa wanita yang hanya memakai jeans ketat dan t-shirt singkat di dalam masjid. Ada juga yang memakai kain belah hingga menampakkan paha. Begitu juga yang memakai seluar legging ketat yang selalunya dipakai untuk senaman aerobik atau berenang. Semua golongan ini tidak bertudung. Ya Allah...kenapa jahil sangat mereka ni, tak tahu ke adat2 untuk ke masjid....????? Susah sangat ke untuk mengenakan pakaian yang lebih sopan. Kalau ye pun kat luar tidak bertudung sekurang2nya hormatilah rumah Allah ini dengan berpakaian menutup aurat.

Daripada pengamatanku dan bahasa perbualan mereka,  wanita2 ini merupakan warga asing yang rata2nya berasal dari Indonesia. Warga tempatan masih sopan dan memahami adat2 ke rumah Allah. Bagi aku, kalau dah tak reti nak pakai sopan, baik toksah datang solat di masjid. Elok dok kat rumah jer diam2. Ini kerana gelagat yang sebegini mencemarkan kemuliaan masjid dan menambahkan dosa jemaah2 lelaki yang memandang mereka. Yang peliknya salah seorang wanita golongan tersebut pandai pula memakaikan anak kecil yang dibawa dengan baju kurung dan tudung, tapi ibunya..... 'seksa' habis.

Selasa, 16 November 2010

Cantik Menawan Dengan Limau Nipis

Limau nipis atau pun nama saintifiknya Citrus aurantifolia selalu kita lihat di pasar2 mahupun di laman2 rumah di negara kita. Buah kecil ini seakan telah menjadi bahan wajib untuk diletakkan di dalam masakan mahupun minuman kita seharian. Tapi tahukah anda selain untuk dijadikan bahan makanan, ia juga berupaya mengembalikan kecantikan tubuh badan secara semulajadi.

Kempiskan perut
Perahkan limau nipis ke dalam teh panas suam tanpa gula dan minum setiap hari. Selain mengempiskan perut ia juga mengemaskan bentuk perut dengan lebih cantik. Jika anda tak suka meminumnya mungkin boleh cuba cara lain, caranya perah air limau nipis dan campurkan dengan kapur sirih, setelah itu sapukan pada perut.

Pulihkan kulit terbakar
Limau nipis juga sangat berkesan untuk memulihkan wajah terbakar akibat cuaca panas. Caranya bancuh tepung gandum bersama madu, putih telur dan perahan air limau nipis. Sapukan campuran ini pada seluruh muka kecuali mata dan mulut. Cuci dengan air bersih setelah kering.


Hilangkan bau kaki
Petua ini sangat berguna terutamanya untuk mereka yg selalu memakai kasut bertutup dan sarung kaki. Caranya amat mudah, hiris sepotong limau nipis dan gosok2kan pada kaki.

Wangikan rambut
Ambil beberapa biji limau nipis dan hiriskan. Gosokkan ke seluruh kepala. Biarkan beberapa minit sebelum dicuci hingga bersih. Selain rambut menjadi harum, limau nipis juga berkesan untuk meredakan pening kepala dan menyejukkan kepala.

Harumkan bau badan
Jika limau nipis mampu harumkan rambut dah tentulah ia juga boleh hilangkan bau ketiak. Caranya senang sangat, potong limau nipis lalu gosokkan pada ketiak ketika mandi. Jika malas, tak perlu amalkan hari2, cukuplah sekadar dua atau tiga kali seminggu. Lebih baik lagi jika anda makan kulit limau nipis yg telah dipotong kecil2 sebagai ulam, tentu badan akan lebih harum tanpa perlu pewangi yang mahal. 

Turunkan berat badan 
Perah dua biji limau nipis ke dalam segelas air sejuk kemudian simpan di dalam peti sejuk. Minum setiap kali lepas makan tengahari atau malam. Amalkan selama sebulan, insyaAllah berat anda akan turun secara beransur. Lebih baik jika diikuti dengan senaman ringan. 

Kilatkan kuku
Perah jus dari 3 biji limau nipis dan campurkan dengan sedikit air biasa. Rendamkan kesemua jari tangan ke dalamnya selama 15 minit. Kemudian ambil belimbing buluh dan gosokkan pada kuku. Bilas dengan air bersih. Hasilnya kuku kelihatan lebih bersih dan berkilat.

Cerahkan bawah lengan
Ketiak yang hitam tentulah memalukan. Apakata cuba petua ini untuk cerahkannya kembali. Caranya ambil sebiji limau nipis dan perah jusnya. Campurkan jus tadi dengan sedikit kapur sirih. Sapukan di bawah ketiak dan biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air bersih. Amalkan 3 kali seminggu.

Cantikkan kulit wajah
Perahkan sebiji atau dua limau nipis. Campurkan jus limau dengan sesudu minyak masak dan biarkan sebati. sapukan pada muka sebelum tidur. Keesokan paginya cuci muka dengan air suam rendaman asam gelugor atau asam keping. Amalkan satu atau dua kali seminggu. Hasilnya wajah akan lebih terasa licin dan halus, selain menjauhkan jerawat.
  
Inai lebih merah 
Campurkan perahan limau nipis semasa membancuh serbuk inai atau bagi inai daun, perahkan jus limau semasa menumbuknya. Hasilnya inai di jari akan kelihatan lebih cantik dan merah. 

Sebenarnya terdapat berpuluh2 lagi khasiat limau nipis yang telah dikenal pasti. Produk2 berasaskan limau nipis juga banyak terdapat di pasaran seperti krim pelangsingan badan dan ubat-ubatan. Selain untuk kecantikan limau nipis juga popular digunakan untuk tujuan perubatan terutamanya di dalam kaedah perubatan tradisional. Ia juga dikatakan mampu memulihkan batuk, merawat kesukaran membuang air kecil, pulihkan anggota badan terseliuh, melegakan masalah jerawat dan cirit-birit.  

Isnin, 15 November 2010

Usia Bumi dan Ramalan Kiamat

Berapa agaknya usia bumi....???? Sudah tentu bukan 2010 tahun, kerana tarikh masehi ini dihitung sejak Nabi Isa a.s dilahirkan. Bukan juga 1431 Hijrah kerana tahun Islam dikira ketika Rasul yang kita kasihi mula berhijrah dari Mekah ke Madinah. Jadi.....berapa ekkkk...??? Jika dilihat pada data-data dan penemuan-penemuan yang dikumpul oleh pakar arkeologi, bumi ini sudah terlalu tua usianya. Contohnya kerangka manusia purba yang dijumpai di kaki gunung Tajikistan dianggarkan berusia kira-kira 4000 tahun. Di Gua Niah Sarawak pula pakar2 arkeologi telah menjumpai tengkorak manusia tertua di dunia yang dikelilingi oleh arang yang berusia 40,000 tahun !!!! 


Jika ternyata bumi yang kita pijak ini telah terlalu tua usianya, bermaksud hari kiamat juga semakin hampir. Mengikut hadith, umat Rasulullah akan hidup selama 1500 tahun sahaja. Sekarang kita sudah berada di tahun 1431 hijrah, daripada ini dapat kita hitung bahawa manusia akan bertahan dalam masa 69 tahun sahaja lagi. 
Jikalau ini benar, bumi akan kiamat pada tahun 2079. 

Mengikut bukti yang lain pula, saintis telah menjumpai sebuah planet yang lebih kecil daripada bumi yang sedang menghala ke bumi. Telah dianggarkan bahawa planet itu akan melanggar bumi pada tahun 2014. Amerika akan cuba untuk menukarkan orbitnya dengan menembaknya dengan sebuah roket. Terdapat juga berita yang mengatakan planet yg dinamakan sebagai Nibiru ini cuma menghampiri bumi bukan berlanggar dengan bumi dalam tahun 2010-2012. Saintis juga telah menjumpai sebuah planet lain yang lebih besar daripada bumi yang juga akan menghentam bumi. Ia dianggarkan akan melanggar bumi dalam masa 60 tahun lagi. Jikalau ini benar, dunia akan musnah pada tahun 2065. 

gambaran planet Nibiru menghampiri bumi
Dan dikatakan juga kuasa Israel akan mencapai puncaknya pada tahun 2007. Kuasanya akan jatuh semula dalam masa 14 tahun, iaitu pada tahun 2022, disebabkan oleh penurunan semula Nabi Isa. Terdapat hadith mengatakan bahawa Nabi Isa hanya akan hidup selama 40 tahun dan dunia akan kiamat pada hari Nabi Isa wafat. Jikalau ini benar dunia akan kiamat pada tahun 2062. Jadi dianggarkan Bumi Akan Kiamat Antara Tahun 2062-2079. 

Walau bagaimanapun menurut al-Quran, hanya Allah sahajalah yang benar2 mengetahui bila akan berlakunya kiamat. Mereka menanyakan kepadamu tentang hari akhir : “Bilakah terjadinya ?”. Katakanlah:”Sesungguhnya pengetahuan tentang itu ada pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat bagi yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba”. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah:”Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Tuhan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (AL-A’raaf :187). 
gambaran kiamat

Jadi sebagai umat Islam, walau begitu banyak terdapat ramalan2 kiamat, yang penting hendaklah sentiasa beribadat kepada Allah. Percaya kepada hari kiamat adalah salah satu rukun iman yang ke enam. Jadi lambat atau cepat kiamat pasti tiba.Hanya orang yang leka dengan dunia sahaja yang akan rugi. Patuhi suruhan Allah dan tinggalkan yang mungkar. Itulah cara untuk menghadapi hari akhir ini.

Ahad, 14 November 2010

Tonton Cerita Seram Lahirkan Anak Kuat Menangis

Bila aku tonton cerita seram kat astro ni, teringat pulak pada berita yg aku baca siang tadi. Mengikut kajian yg dilakukan oleh Kolej Perubatan Madras, India, wanita mengandung yang sering menonton cerita seram di televisyen pada waktu malam didapati melahirkan anak yang kuat menangis. Menurut Dr. S. Elango yang merupakan bekas pengarah kesihatan awam Tamil Nadu, terdapat perbezaan antara bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidur lewat kerana menonton televisyen berbanding ibu mengandung yang tidur awal. Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidur lewat didapati sering menangis walaupun selepas diberi makan.


Kajian khas ini dibuat di kalangan 3,500 wanita mengandung selama 2 tahun mulai 2007 - 2009 di kawasan luar bandar di Tamil Nadu. Ibu-ibu tersebut dipantau semasa mereka sedang mengandung manakala bayi mereka turut di perhatikan sehingga beberapa hari dilahirkan. Kajian juga mendapati bayi yang dikahirkan ibu yang tidak menonton cerita seram atau pun yang tidur awal, lebih nyenyak tidur.
(sumber : Bernama)

Bagi aku la....mungkin ada benarnya kajian tersebut. Kerana mengikut kata-kata orang alim, menonton cerita seram yg memaparkan hantu dan syaitan, seolah-olah menjemput makhluk2 tersebut masuk ke rumah kita. Menurut kepercayaan ramai orang , kehadiran jembalang2 ini boleh mengganggu manusia terutamanya yang lemah seperti ibu-ibu mengandung dan bayi. Mungkin atas dasar inilah pada suatu ketika dahulu kerajaan kita mengharamkan tayangan filem seumpama ini. Ye lah apa taknya, selepas menontonnya kita terasa seperti bayangan hantu syaitan tersebut berada di segenap pelosok rumah kita, terutamanya pada waktu malam.  Tak pasal-pasal rasa seram sejuk semacam. 


Sebenarnya mengikut kepercayaan orang Melayu, ibu-ibu yang mengandung memang tidak digalakkan tidur lewat walaupun tidak menonton televisyen kerana dikhuatiri anak yang bakal dilahirkan susah tidur malam. Apabila ini berlaku tentulah membebankan ibu bapa kerana terpaksa bangun awal untuk bekerja esok hari.

Aku sendiri pernah mengalaminya kerana semasa mengandung aku masih lagi belajar secara sambilan. Oleh itu terpaksa lah berjaga malam untuk menyiapkan tugasan. Akibatnya anak aku sampai sekarang tak reti tidur awal, sampai jam 2 pagi pun dia boleh berjaga dengan cergasnya. Nasib baiklah ada facebook dan blog, bolehlah aku mengadap benda2 ni semua sambil menemankan si kecil.

Jumaat, 12 November 2010

Tampil Cantik Semulajadi

Kadang-kadang rasa bosan juga nak guna make-up yg ada di pasaran kan. Sesetengah alat solek pula meninggalkan kesan sampingan kepada kulit seperti bibir menjadi hitam, muka berjerawat, bengkak2 dan alergi. Jadi apa kata kita lihat apakah bahan-bahan semulajadi yg mungkin ada di rumah untuk memulihkan kembali kejelitaan yg asli. 

Merawat Bibir Kehitaman
Sapukan madu pada bibir dan biarkan selama kira-kira 15 minit sebelum dicuci dengan air.Selain madu, ubat gigi juga berkesan memerahkan bibir secara semulajadi dan membuang semua kesan gincu pada bibir. Caranya, sapukan ubat gigi pada bibir selama 3 minit sebelum mandi.


Menghalus dan menanggalkan daki pada badan
Kisar segenggam beras hingga halus. Kemudian tumbuk beberapa helai daun sirih hingga lumat. Campurkan kedua-dua bahan ini dan kacau sehingga sebati. Gunakan campuran bahan ini sebagai lulur sebelum mandi. Selain menghaluskan kulit, ia juga membantu menanggalkan daki dan mengharumkan badan.

Jika tak suka dengan petua di atas, mungkin anda boleh mencuba petua yg ini pula. Goreng beras tanpa minyak sehingga keperang-perangan, kemudian dikisar. Selepas itu tumbuk satu inci kunyit hidup sehingga hancur. Gaulkan beras dan kunyit bersama segenggam asam jawa yg dibancuh dengan sedikit air. Perapkan ramuan kira-kira sejam. Ketika mandi gosokkan campuran ini ke seluruh badan selama 5 minit. Kemudian bilas dengan air. Baik jika diamalkan seminggu sekali. Bahan-bahan ini berupaya menanggalkan sel kulit mati dan daki badan.

Mata segar menawan
Bagi menanggalkan lingkaran hitam di bawah mata, tumbuk daun pudina hingga hancur dan letakkan pada sekitar bahagian mata. Biarkan 10 minit sebelum dicuci dengan air sejuk.
Mata yg sembab boleh dikurangkan dengan menggunakan potongan ubi kentang segar. Caranya, letakkan potongan ubi kentang selama beberapa minit di atas mata.
Mata yg keletihan pula boleh dirawat dengan uncang teh. Caranya, rendam 2 uncang teh di dalam air panas. Setelah itu sejukkan uncang teh ini di dalam peti sejuk. Uncang teh sejuk tadi diletakkan atas mata selama 15 minit. 

Hmmmm.....mudah dan murah bukan....bahan-bahannya juga mudah didapati dan biasanya ada di dapur rumah anda. Tak cuba, tak tau kesannya....jadi selamat mencuba.

Khamis, 11 November 2010

Suntikan BCG Cegah Batuk Kering

Ketika menikmati nasi pattaya bersama rakan sekerja di sebuah cafe, topik perbualan kami berkisar tentang seorang rakan dan bayinya yg dijangkiti cacar air. Rasanya semua rakyat Malaysia akan terkena cacar air ini sekali seumur hidup dan jangkitan kepada bayi boleh dicegah melalui suntikan Rubella yg diberikan kepada remaja perempuan semasa di sekolah. Selain Rubella, suntikan BCG adalah yg wajib dikenakan kepada rakyat Malaysia ketika kanak2 lagi. Suntikan BCG meninggalkan kesan parut yg ketara di sebelah bahu kiri kita. Adakalanya parut inilah yg digunakan pihak berkuasa bagi membezakan antara rakyat Malaysia dan warga asing, terutamanya ketika berlaku kecelakaan.
suntikan BCG diberikan sejak bayi lagi
 The Bacille Calmette-Guerin (BCG) adalah vaksin daripada strain Mycobacterium bovis hidup yg dilemahkan. Vaksin BCG telah digunakan sejak Perang Dunia I untuk meningkatkan sistem imun badan dan memberikan perlindungan terhadap jangkitan batuk kering (Tibi) atau nama saintifiknya Tuberculosis.  Kuman Mycobacterium tuberculosis yg menyebabkan Tibi merebak melalui udara dan titisan daripada pengidap penyakit tibi aktif. Sesiapa yang terdedah kepada bakteria ini boleh mendapat jangkitan. Bakteria ini masuk ke badan seseorang melalui saluran pernafasan sebelum ia menyerang paru-paru. Kuman tibi boleh merebak apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk, bersin, ketawa atau bercakap sehingga terpercik air liur. Apabila ini berlaku, kuman tibi mula menyerang paru-paru secara aktif.

anggota2 badan yg boleh diserang Tibi

Suntikan BCG mula diperkenalkan kepada bayi dan  kanak-kanak berusia tujuh dan 12 tahun. Suntikan vaksin BCG pertama diberikan kepada bayi baru lahir dan  jika tiada parut pada lengan, ia disuntik lagi ketika berumur tujuh tahun. Hasil program kawalan yang dilakukan didapati statistik graf jangkitan Tibi mula menurun dan berkurangan untuk suatu tempoh yg lama. Penggunaannya telah menyelamatkan banyak nyawa.Satu suntikan BCG ketika bayi sudah mencukupi untuk memberi perlindungan sehingga 30 hingga 80 peratus. Walau bagaimanapun suntikan BCG tidak menahan sepenuhnya seseorang itu daripada penyakit tibi.
Adalah lebih baik lagi jika masyarakat mengamalkan pencegahan seperti menutup mulut ketika batuk dan bersin.

Vaksin BCG selamat diambil dan tidak mengganggu vaksin lain yang diberikan secara bersamaan. Tibi biasanya mempengaruhi paru-paru tetapi juga boleh menjejaskan bahagian lain tubuh seperti tulang, sendi, saluran genital-kencing, saluran gastro-usus dan otak. Tibi adalah penyakit berjangkit yang paling umum di seluruh dunia dan merupakan pembunuh nombor satu. Tibi boleh menjangkiti semua usia, terutama kanak-kanak di bawah usia 3 tahun, orang tua dan mereka yg rendah tahap imunisasi. Komplikasi Tibi merangkumi masalah-masalah pernafasan, kemandulan, lumpuh kaki, ketidakupayaan dan kematian.



 

Selasa, 9 November 2010

Rintihan Suami Isteri


Kadang-kadang macam serba tak kena ya....suami komplen pasal bini....bini pulak mengadu suami dia macam tu lah, macam ni lah.  Orang yg mendengar pulak bila depan suami-isteri tersebut bukan main lah tunjuk simpati, tapi di belakang, gelak bagai nak pecah perut. Tak cukup dengan itu , abis dicanangnya satu dunia hal laki bini malang tu. Hmmm...nampak macam dua kali lima, lima kali dua saja kan....Jadi apa kata kita ushar2 apa yg suami selalu luahkan dan apa pula rintihan sang isteri.

Luahan Perasaan Suami

1."isteriku, Iktitraflah kelakianku"

ketika di alam cinta semuanya indah belaka
2."Isteriku, Jagalah Rumahku"

3."Isteriku, Janganlah Leteri aku"

4."Isteriku, Fahamilah Perasaanku"

5."Isteriku, Berbincanglah denganku"

6."Isteriku, Hiasilah Dirimu"

7."Isteriku, Berlemah Lembutlah terhadapku"

8."Isteriku, Hargailah pemberianku"

9."Isteriku, Janganlah Pilih Kasih Terhadap Anak-anak"

10."Isteriku, Jagalah Makan Minumku"

11."Isteriku, Jagalah pakaianku"

12."Isteriku , Didiklah Anak-Anakku"

13."Isteriku, Raikan Keluargaku"

14."Isteriku, Sembunyikanlah Kepintaran &  Kelebihanmu"

semarakkan cinta sepjg usia perkahwinan
15."Isteriku, Janganlah Membuang Masamu"

16."Isteriku, Janganlah Banyak Kerenah"

17."Isteriku, Patuhlah Kepadaku"

18."Isteriku, Janganlah Cemburu Buta"

19."Isteriku, Tunjukanlah sifat sabarmu"

20."Isteriku, Iktiraflah Kepimpinanku"

21."Isteriku, Bantulah Kejayaan ku."

22"Isteriku, Jadikan Anak2ku Insan Berakhlak mulia"

23."Isteriku, Permudahkan Penglibatan Sosial ku"

24."Isteriku, Janganlah Boros"

25."Isteriku, Hargailah Kejayaanku"

26"Isteriku, Galakkanlah Hobiku"

27."Isteriku, Suburkanlah Pembangunan Intelekku"

28."Isteriku, Berjimat Cermatlah"

29."Isteriku, Berterus-terang dan Berkomunikasilah Denganku"

30."Isteriku, Janganlah Terlalu Mengawalku."

Luahan Isteri Terhadap Suami

moga sentiasa diberkati Allah
1. suamiku...bimbinglah keluargamu...

2. suamiku.. jangan ler rileks aje...tolonglah sikit !!!

3. suamiku...jagalah matamu...

4. suamiku...jangan abaikan rumahtanggamu

5. suamiku...jangan balik kerja lambat sangat

6. suamiku...dengarlah rintihan hatiku....

7. suamiku...bertutur dengan lembutlah denganku...jangan main hentam kromo aje!!!

8. suamiku...setialah pada keluargamu....JANGAN CARI YANG LAIN!!!!

9. suamiku...bersabarlah dengan kerenah anak-anakmu !!!

10.suamiku...ciumlah pipiku @ dahiku sebelum pergi kerja

11.suamiku...makan dan minumlah hidangan dari air tanganku. Jangan jeling aje dan nak komplen aje.

12.suamiku...pujilah diriku dan jangan bandingkan diriku dengan orang lain!!!!


Hmmmm....suami mahupun isteri ada kelebihan dan kekurangannya, yg penting tolak ansur, hormat-menghormati, saling menyokong dan bertimbang rasa antara satu dengan yg lain. Renung2kan...Selamat beramal....


Isnin, 8 November 2010

Madu Lebah Mengembalikan Kekuatan Tubuh

Setiap kali aku buka peti ais, terpandang madu lebah yg semakin membeku saban hari. Entah kenapa liat sungguh untuk aku jamah madu yg dihadiahkan oleh seorg rakan ini. Dah la free, nak makan pun macam tak sudi. Kalau rakan tersebut tahu, tentu kecik hati dia. Bukannya tak suka, tapi malas sungguh untuk menghirupnya.

Mungkin setelah aku dalami khasiatnya barulah bersemangat sikit kot nak minum madu. Seperti yg disebut di dalam al-Quran, madu merupakan penawar yg berupaya menyembuh segala penyakit. Menurut org2 dahulu kala, madu lebah berupaya untuk memulih, menyegar dan menambah tenaga badan. Untuk lebih efektif lagi campurkan telur ayam kampung dengan sedikit madu, dikacau sebati kemudian diminum. Untuk kesegaran sepanjang hari, minumlah sesudu besar madu bersama segelas air suam setiap pagi. Selain itu ia juga memulihkan kembali darah yg beku dan membetulkan pengaliran darah. Ia juga mampu mengurangkan tekanan darah tinggi.

Lebah dan sarang, lebah mengumpul madu drp bunga2-an lalu disimpan disarangnya

Bagi ibu-ibu mengandung madu boleh membantu pertumbuhan dan menguatkan janin dari segi fizikal dan mental. Penyakit Hepatitis B yang biasa menyerang bayi dapat dihindar dengan amalan meminum madu oleh ibu yang mengandung. Meneruskan pemberian madu asli pada bayi yang baru lahir dapat mengeluarkan secara positif lendir yang mungkin terminum semasa bayi itu dilahirkan yang merupakan punca lelah jika tidak habis dikeluarkan. Campurkan sedikit madu ke dalam minuman kanak-kanak, kanak-kanak akan lena dengan nyenyak. Bagi wanita yg baru bersalin, disarankan mengambil madu bersama jamu dan telur untuk membina darah serta mempercepatkan proses penyembuhan luka dalam perut atau rahim. Bagi kaum wanita amnya madu dikatakan dapat mengekalkan tubuh badan yang menarik dan menjadikan kulit lebih halus, bersih dan berseri-seri.
pastikan madu yg asli
Kaum lelaki mungkin tersenyum lebar bila mengetahui khasiat madu kerana ia dikatakan mampu menguatkan tenaga batin dan petua awet muda. Khasiat-khasiat lain yg diketahui ialah memudahkan proses penghadaman, melawaskan pembuangan air besar, memulihkan penyakit berpanjangan, menguatkan jantung, buah pinggang dan badan, menyembuhkan penyakit dalam perut, menyembuhkan luka atau kesan pembedahan dgn lebih cepat, mengurangkan sakit bila datang haid dan menerangkan daya penglihatan.

Jika batuk atau lelah, minum satu atau dua sudu madu. Titiskan sedikit madu pada mata untuk memulihkan penyakit mata. Madu boleh meredakan sakit dgn disapu pada kesan gigitan atau sengatan serangga berbisa. Madu dapat  memberhentikan darah luka dengan segera dan luka terlindung dari kuman. Madu juga dapat memulihkan  kulit yg melecur akibat terkena api, air panas, ekzos motor dan minyak panas.  Lain-lain penyakit kulit seperti kudis dan kurap juga dapat dipulihkan dengan madu.

Untuk memelihara khasiatnya, sebaik2nya madu tidak disimpan dalam peti sejuk. Madu juga perlu dielakkan dari terkena pancaran cahaya matahari dan jauhkan dari litar elektrik. Selain itu, kurangkan pendedahan madu kepada unsur logam dan haba. Satu perkara lagi elakkan dari memakan madu bersama tembikai, kerana ia mungkin memudaratkan. Nah....tunggu apa lagi, jom lah minum madu....