Rasa teruja sungguh bila tiba di Melaka. Mana taknya tempat-tempat dan bangunan-bangunan yg selama ini hanya dapat dilihat menerusi buku-buku sejarah dan TV kini terbentang di depan mata. Tercari-cari bangunan peninggalan Portugis yang paling popular iaitu A'Famosa....dan....dah nampak, nun di depan sana. Disinari cahaya lampu di waktu malam, bangunan tua yang telah berusia 500 tahun ini terlihat masih gagah berdiri.
A'Famosa
Juga dikenali sebagai Porta De Santiago, merupakan sebuah kubu lama yang dibina oleh Laksamana Portugis yang telah berjaya menakluk Melaka iaitu Alfonso d'Albuquerque pada tahun 1511. Tempat ni kiranya wajib dilawati jika ke Melaka. Waktu malam pun masih ada pengunjung yang melawatnya, apatah lagi waktu siang, berpusu-pusu orang datang. Kebetulan masa kami ke sini, cuti sekolah dah mula, maka banyaklah rombongan sekolah yang kelihatan di sini.
Runtuhan Gereja St. Paul
Di belakang A'Famosa ialah bukit St. Paul. Di atas bukit inilah terletaknya runtuhan gereja St. Paul yang tidak digunakan lagi. Dibina pada tahun 1521 oleh seorang kapten Portugis beragama Katholik iaitu Duarte Coelho. Selepas Belanda mengambil alih gereja ini, ia dinamakan gereja St. Paul. Menurut sejarah, St. Francis Xavier dikebumikan di sini pada tahun 1553, sebelum mayatnya dipindahkan ke Goa, India.
Bangunan yang kelihatan sangat usang ini, begitu indah dan berseni pada pandanganku. Senibinanya ringkas tetapi artistik. Bumbungnya telah tiada dan banyak terdapat kubur2 Portugis dan Belanda di dalamnya dan juga di persekitaran luar gereja. Ada juga yang cari makan di sini dengan berniaga di luar bangunan dan ada yang menyanyi sambil bermain gitar di dalam bangunan. Sungguh ramai pelancong asing ke sini, terutamanya dari Britain dan Japan. Dari luar perkarangan gereja, boleh dilihat pemandangan indah negeri Melaka seperti Selat Melaka, menara Taming sari dan replika kapal Portugis.
Muzium Islam
Menuruni bukit St. Paul kami ke muzium Islam pula yang terletak di kaki Bukit St. Paul. Bangunan yang menempatkan muzium ini asalnya adalah bangunan Belanda dan juga British. Dulunya tempat ni digunakan sebagai pejabat majlis agama Islam Melaka. Di dalamnya dipamerkan replika2 masjid tua dari serata negeri, mimbar antik dan barang2 yang digunakan pada zaman kegemilangan Islam.
Muzium Rakyat, Muzium Kecantikan dan Muzium Layang-layang
Ketiga-tiga muzium ini terletak di dalam sebuah bangunan tiga tingkat dan tak jauh dari muzium islam. Sebenarnya terdapat 22 buah muzium semuanya di seluruh negeri Melaka dan majoritinya adalah di Kota Melaka. Dengan tiket serendah RM1 anda boleh menyaksikan pelbagai barangan unik peninggalan sejarah. Kesemua muzium ini diselenggarakan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Muzium Rakyat mendokumentasikan pembangunan sosial dan ekonomi negara. Muzium kecantikan meyimpan barang-barang seperti kasut cina dan anting-anting yang digunakan manusia dahulu untuk mencantikkan diri. Manakala di dalam muzium layang2 pula terdapat pelbagai bentuk layang-layang yg cantik dan unik. Bersebelahan muzium ini ialah Muzium Dunia Melayu.
Istana Kesultanan Melaka (Muzium Budaya)
Replika istana ini juga adalah tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi. Terletak di kaki bukit St. Paul, bila berada di sini, terasa bagaikan berada di zaman silam. di dalamnya dipamerkan pelbagai pakaian tradisional dari semua negeri di Malaysia, alat-alat kebesaran Di-raja, replika-replika kecil istana Raja-Raja Melayu, peralatan muzik dan barang-barang perhiasan lama. Patung-patung yang menceritakan tentang pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat juga antara yang menarik. Terdapat sebuah balairong seri yang menempatkan patung-patung Raja dan pembesar-pebesar istana seperti yang biasa kita lihat dalam filem-filem Melayu lama.
Muzium Maritime @ Muzium Samudera
Ianya merupakan sebuah replika kapal Portugis Flor de la Mar yang pernah karam di perairan Melaka. Muzium ini juga sangat menarik untuk dikunjungi dan terasa seperti menaiki kapal yang sangat besar. Antara barang-barang yang dipamerkan ialah patung Hang Tuah, model kapal, peta asal dan peti besi lama. Bersebelahan kapal ini ialah Muzium Marin dan Muzium Kastam.
Masjid Kampung Hulu
Terletak di Chinatown, ia adalah antara yang tertua di Malaysia. Dibina pada tahun 1728, ia mempunyai senibina unik pengaruh Cina dan Sumatera. Majoriti masjid di Melaka mempunyai rekabentuk yang begini dengan bumbung berbentuk piramid atau minangkabau dan menara berbentuk pagoda.
Masjid Kg Hulu ni adalah yg utama bagi masyarakat Islam di sini kerana dipercayai mempunyai keramat. Menurut masyarakat setempat ramai penduduk tempatan mahupun yang datang dari jauh datang bersolat di sini dan meminum air kolahnya untuk memohon hajat, dan kebanyakan hajat telah tertunai. Aku juga sempat mengambil dua botol air kolah masjid ini untuk dibawa pulang walaupun tidaklah begitu percaya dengan dakwaan tersebut. Tak jauh dari masjid ini ialah sebuah lagi masjid tua yang dibina pada tahun 1748, iaitu masjid Kg Keling. Berhampiran masjid Kg Keling ialah sebuah tokong lama yang dibina pada tahun 1646 iaitu Tokong Cheng Hoon Teng.
Melaka River Cruise
Jika ke Melaka jangan lepaskan peluang menaiki MRC yang cukup popular di kalangan pelancong ini. Tahun ini saja dah lebih setengah juta orang yang menaiki bot MRC ini. Walaupun harga tiketnya mungkin mahal sedikit iaitu RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, namun pengalaman menyusuri Sungai Melaka yang terletak di tengah-tengah Kota Melaka ini tentunya tidak mengecewakan. Pelancong akan dibawa dari Taman Rempah hingga Muara Sg Melaka yang mengambil masa kira-kira 45 minit. Antara pemandangan yang boleh dilihat di sepanjang sungai Melaka ialah Kg Morten, kincir air, jambatan, bangunan-bangunan lama dan eye on Melaka. Bot ini beroperasi hingga waktu malam. Pada malam hari pelancong akan berpeluang menikmati keindahan cahaya lampu yang di pasang pada pokok-pokok, tembok-tembok jalan dan bangunan di sepanjang sungai.
Jonker Walk
Jonker Walk atau Jalan Hang Jebat merupakan jantung hati Kota Melaka lama. Di sinilah terdapatnya galeri-galeri seni, kedai-kedai antik, tukang emas, kedai baiki jam, pengeluar kasut manik dan kedai-kedai makan. Ia boleh juga dikatakan seperti chinatown kerana majoriti pekedai-pekedai di sini ialah dari kaum cina. Jalan ini akan lebih meriah pada setiap petang jumaat, sabtu dan ahad dengan adanya pasar malam yang diadakan oleh kaum cina juga. Bersesuaian dengan nama jalan ini, terdapat satu lorong untuk ke makam Hang Jebat di sini.
Kompleks Stadthuys
Bangunan ini dibina oleh Belanda antara tahun 1641 - 1660. Merupakan pejabat pentadbiran Belanda yang menempatkan kediaman rasmi gebenor-gabenor Belanda dan pegawai-pegawainya. Suatu ketika dulu, bangunan ini juga menempatkan Majlis Bandaran Melaka dan kini ia dijadikan muzium. Terdapat 5 buah muzium di dalamnya iaitu Muzium Sejarah Melaka, Muzium Sastera, Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Galeri Laksamana Cheng Ho dan Muzium Pemerintahan Demokrasi. Berdekatan bangunan Stadthuys ini ialah jam besar, Gereja Christ dan Muzium Belia yang juga merupakan bangunan tinggalan Belanda. Apa yang menarik kesemuanya berwarna merah salmon.
Dataran Portugis
Terletak di perkampungan Portugis yang berhampiran laut Melaka. Terdapat berbagai-bagai aktiviti kebudayaan Portugis di sini pada setiap hari sabtu, tetapi kami ke sana pada malam isnin itu hanyalah untuk menikmati masakan Portugis sahaja. Enak juga masakan Portugis, hingga kini masih terkenang-kenang kelazatan ikan bakar jenahaknya yang pedas, scallop masak mentega dan kangkung goreng. Selain masakan Portugis, kami juga sempat merasa masakan baba & nyonya di Melaka Sentral. Sedikit terkilan kerana tak sempat merasa asam pedas Melaka yang terkenal dan juga makanan laut di Umbai.
A'Famosa Animal World Safari
Setelah puas menyelusuri Kota Melaka selama 3 hari, kali ni destinasi kami jauh dari bandar. A Famosa Resort terletak di Alor Gajah, Melaka, kira-kira 35 km dari Bandar Melaka. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit itu akhirnya menemukan kami dengan sebuah resort yang cantik seluas 520 hektar.
A Famosa Resort merangkumi Cowboy Town, Water World dan Animal World Safari. Kami hanya ke Animal World Safari dan menghabiskan masa di sini sehari suntuk. Harga tiket bagi dewasa ialah RM48 dan RM38 bagi kanak-kanak (termasuk lunch). Antara yang menarik di sini ialah menyaksikan 4 jenis pertunjukan iaitu elephant show, multi animal show, bird show dan wild wild west show. Pengalaman menunggang gajah di sini buat pertama kali merupakan kenangan yang tak dapat dilupakan. Selain show, kami juga tak lepaskan peluang menjelajah ladang-ladang haiwan seperti seladang, rusa, harimau dan singa dengan truck. Pulau monyet juga sesuatu yang wajib dikunjungi jika ke sini.
Perigi Hang Li Poh
Dalam perjalanan pulang ke Bandar Melaka dari A Famosa Resort, singgah pula di perigi Hang Li Poh yang dibina pada zaman Sultan Mansur Syah dalam tahun 1459. Sultan membina perigi ini khas buat isterinya yang merupakan puteri Raja dari negara China pada zaman Dinasti Ming. Terletak di Bukit Cina, perigi ini sekarang digunakan orang untuk memohon hajat dengan membaling syiling ke dalamnya. Jika meminum airnya dipercayai orang tersebut akan kembali semula ke Melaka.
Sebenarnya masih banyak lagi tempat2 menarik di Melaka yang tak sempat dikunjungi seperti Ayer Keroh yang menempatkan zoo Melaka, hutan rekreasi, Mini Malaysia, Mini Asean, taman buaya dan taman kupu-kupu. Di sekitar Bandar Melaka sendiri pun masih banyak tempat yang tak sempat pergi seperti kubu St. John, makam Hang Tuah, muzium warisan Baba & Nyonya, Muzium Chitty dan Kg Morten (Muzium Hidup). Memang tak rugi ke Melaka, negerinya indah, rakyatnya juga ramah.
as salam...bleh x sya gunakan artikel nie utk bhn assigment sya?
BalasPadam