My FoLLoWers~TQ~

Ahad, 3 April 2011

Kenali Virus Hepatitis

Hepatitis adalah penyakit yang boleh mengganggu fungsi hati dan menyebabkan pembengkakan hati. Hati membantu tubuh mencerna makanan, menyimpan tenaga dan membuang racun. Hepatitis boleh menyebabkan parut pada hati yang dikenali sebagai sirosis dan juga barah hati.


Virus Hepatitis A
Juga dikenali sebagai hepatitis berjangkit. Boleh tersebar melalui pengambilan makanan dan minuman yang tercemar dengan bahan buangan manusia. Selalu berlaku di kawasan yang agak kotor. Hepatitis A jarang membawa maut tetapi virus ini juga boleh berjangkit melalui hubungan seksual.

Virus Hepatitis B
Juga dikenali sebagai hepatitis serum. Berbanding dengan hepatitis A ia kurang disebarkan. Penyebaran biasanya daripada ibu kepada anak sewaktu dilahirkan atau pun selepas itu. Virus ini juga boleh tersebar melalui hubungan seksual, pemindahan darah dan perkongsian jarum suntikan. Hepatitis B boleh menyebabkan sirosis dan barah hati.

Virus Hepatitis C
Merupakan jenis virus hepatitis yang biasa berlaku. Kebiasaannya ia disebarkan melalui darah atau jarum yang telah tercemar semasa pemindahan darah. Ia juga boleh menghasilkan parut pada hati. Jangkitan hepatitis C biasa berlaku kepada kira-kira 25 % mereka yang positif HIV. Kira-kira 90% penagih dadah yang positif HIV juga dijangkiti hepatitis C. Golongan lain yang kerap mendapat virus ini ialah penagih alkohol.

Virus Hepatitis D
Virus ini biasanya menjangkiti penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan sama ada yang berkongsi atau tidak. Mereka yang dijangkiti juga merupakan pembawa virus hepatitis B. Oleh itu pengidap hepatitis D berdepan dengan masalah kesihatan yang lebih serius kerana mereka juga merupakan penghidap hepatitis B terlebih dahulu.

Virus Hepatitis E
Ia hampir sama dengan virus hepatitis A. Virus ini mudah tersebar di negara-negara yang mempunyai tahap kebersihan yang agak teruk. Ia biasanya disebarkan melalui makanan dan minuman yang telah dicemari najis.

Hepatitis Bukan Akibat Virus
Selain melalui virus-virus A, B, C, D dan E, hepatitis juga boleh disebabkan oleh mononucleosis berjangkit, demam kuning dan jangkitan cytomegalovirus. Biasanya berlaku di kalangan penagih dadah dan alkohol. Hepatitis jenis ini boleh menjadi akut ( berlanjutan kurang daripada enam bulan ) atau kronik.

SIMPTOM-SIMPTOM HEPATITIS

Ada penghidap-penghidap hepatitis yang tdak menunjukkan sebarang tanda-tanda telah diserang hepatitis. Namun ada juga yang menunjukkan tanda-tanda berikut :

  • Hilang selera makan.
  • Loya dan muntah.
  • Cirit-birit.
  • Air kencing berwarna gelap dan najis agak pucat.
  • Sakit perut.
  • Jaundis, kulit dan mata berwarna kekuningan.


LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

1. Mendapatkan Vaksin Hepatitis A
Mereka yang berisiko tinggi seperti pekerja taman asuhan kanak-kanak, pekerja rumah orang-orang tua, pekerja makmal dan melancong ke negara-negara yang biasa mendapat penularan virus ini adalah perlu mendapatkan vaksin hepatitis A. Kanak-kanak juga digalakkan mendapatkan vaksin ini.

2. Mendapatkan Vaksin Hepatitis B
Vaksin ini diberikan kepada bayi dan kanak-kanak bawah 18 tahun yang tidak pernah mendapatkan suntikan vaksin. Vaksin ini boleh juga diambil oleh orang dewasa yang berisiko tinggi seperti penjaga kesihatan professional, penagih dadah dan mereka yang terlibat dengan seks bebas atau mempunyai pasangan yang telah dijangkiti virus ini.

3. Mengambil Suntikan Immunoglobulin
Ia boleh diambil sebaik sahaja selepas berhubungan rapat (seperti bercium atau berkongsi makanan) dengan mereka yang telah didiagnos menghidap hepatitis A dalam masa dua minggu perkara tersebut berlaku. Ia juga perlu diberikan dengan segera bersama-sama dengan vaksin hepatitis B kepada bayi yang baru dilahirkan oleh wanita yang menghidap hepatitis B.

Sumber : Mingguan Wanita