My FoLLoWers~TQ~

Ahad, 3 April 2011

Kenali Virus Hepatitis

Hepatitis adalah penyakit yang boleh mengganggu fungsi hati dan menyebabkan pembengkakan hati. Hati membantu tubuh mencerna makanan, menyimpan tenaga dan membuang racun. Hepatitis boleh menyebabkan parut pada hati yang dikenali sebagai sirosis dan juga barah hati.


Virus Hepatitis A
Juga dikenali sebagai hepatitis berjangkit. Boleh tersebar melalui pengambilan makanan dan minuman yang tercemar dengan bahan buangan manusia. Selalu berlaku di kawasan yang agak kotor. Hepatitis A jarang membawa maut tetapi virus ini juga boleh berjangkit melalui hubungan seksual.

Virus Hepatitis B
Juga dikenali sebagai hepatitis serum. Berbanding dengan hepatitis A ia kurang disebarkan. Penyebaran biasanya daripada ibu kepada anak sewaktu dilahirkan atau pun selepas itu. Virus ini juga boleh tersebar melalui hubungan seksual, pemindahan darah dan perkongsian jarum suntikan. Hepatitis B boleh menyebabkan sirosis dan barah hati.

Virus Hepatitis C
Merupakan jenis virus hepatitis yang biasa berlaku. Kebiasaannya ia disebarkan melalui darah atau jarum yang telah tercemar semasa pemindahan darah. Ia juga boleh menghasilkan parut pada hati. Jangkitan hepatitis C biasa berlaku kepada kira-kira 25 % mereka yang positif HIV. Kira-kira 90% penagih dadah yang positif HIV juga dijangkiti hepatitis C. Golongan lain yang kerap mendapat virus ini ialah penagih alkohol.

Virus Hepatitis D
Virus ini biasanya menjangkiti penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan sama ada yang berkongsi atau tidak. Mereka yang dijangkiti juga merupakan pembawa virus hepatitis B. Oleh itu pengidap hepatitis D berdepan dengan masalah kesihatan yang lebih serius kerana mereka juga merupakan penghidap hepatitis B terlebih dahulu.

Virus Hepatitis E
Ia hampir sama dengan virus hepatitis A. Virus ini mudah tersebar di negara-negara yang mempunyai tahap kebersihan yang agak teruk. Ia biasanya disebarkan melalui makanan dan minuman yang telah dicemari najis.

Hepatitis Bukan Akibat Virus
Selain melalui virus-virus A, B, C, D dan E, hepatitis juga boleh disebabkan oleh mononucleosis berjangkit, demam kuning dan jangkitan cytomegalovirus. Biasanya berlaku di kalangan penagih dadah dan alkohol. Hepatitis jenis ini boleh menjadi akut ( berlanjutan kurang daripada enam bulan ) atau kronik.

SIMPTOM-SIMPTOM HEPATITIS

Ada penghidap-penghidap hepatitis yang tdak menunjukkan sebarang tanda-tanda telah diserang hepatitis. Namun ada juga yang menunjukkan tanda-tanda berikut :

  • Hilang selera makan.
  • Loya dan muntah.
  • Cirit-birit.
  • Air kencing berwarna gelap dan najis agak pucat.
  • Sakit perut.
  • Jaundis, kulit dan mata berwarna kekuningan.


LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

1. Mendapatkan Vaksin Hepatitis A
Mereka yang berisiko tinggi seperti pekerja taman asuhan kanak-kanak, pekerja rumah orang-orang tua, pekerja makmal dan melancong ke negara-negara yang biasa mendapat penularan virus ini adalah perlu mendapatkan vaksin hepatitis A. Kanak-kanak juga digalakkan mendapatkan vaksin ini.

2. Mendapatkan Vaksin Hepatitis B
Vaksin ini diberikan kepada bayi dan kanak-kanak bawah 18 tahun yang tidak pernah mendapatkan suntikan vaksin. Vaksin ini boleh juga diambil oleh orang dewasa yang berisiko tinggi seperti penjaga kesihatan professional, penagih dadah dan mereka yang terlibat dengan seks bebas atau mempunyai pasangan yang telah dijangkiti virus ini.

3. Mengambil Suntikan Immunoglobulin
Ia boleh diambil sebaik sahaja selepas berhubungan rapat (seperti bercium atau berkongsi makanan) dengan mereka yang telah didiagnos menghidap hepatitis A dalam masa dua minggu perkara tersebut berlaku. Ia juga perlu diberikan dengan segera bersama-sama dengan vaksin hepatitis B kepada bayi yang baru dilahirkan oleh wanita yang menghidap hepatitis B.

Sumber : Mingguan Wanita

Isnin, 28 Februari 2011

Kuku.....Petunjuk Tahap Kesihatan

Rasanya tak ramai di antara kita yang begitu memperhatikan kuku sendiri. Asal pendek dan kelihatan bersih, sudah memadai. Tapi tahukah anda bentuk dan warna kuku sebenarnya boleh menjadi petunjuk kepada tahap kesihatan kita.



Kuku berwarna putih
Kemungkinan ada penyakit hati seperti hepatitis.

Kuku kekuningan, tebal dan tumbuh dengan perlahan
Penyakit paru-paru seperti emfisema. Emfisema disebabkan oleh kehilangan sifat elastik pada alveolus. Asap rokok dan kekurangan enzim alfa-1-antitripsin adalah penyebab kehilangan kekenyalan pada paru-paru. Ini menyebabkan volume paru-parunya lebih besar berbanding biasa kerana karbon dioksida yang seharusnya dikeluarkan dari paru-paru terperangkap didalamnya. 

Kuku kekuningan dengan sedikit merah pada dasarnya
Diabetes atau kencing manis.

Kuku berwarna separuh putih dan separuh merah jambu
Penyakit buah pinggang.

Dasar kuku berwarna merah
Penyakit jantung.

Dasar kuku pucat atau berwarna putih
Anemia. Anemia adalah keadaan di mana kandungan sel darah merah di dalam tubuh jauh berkurangan daripada biasa.

Permukaan kuku berlekuk
Psoriasis atau keradangan arthritis merupakan penyakit kulit bersisik. Kulit pesakit menjadi berbintik atau bertompok merah, membengkak dan kulit pada bahagian berkenaan menebal dan keras. Dalam masa beberapa hari kulit yang tebal itu menjadi tua dan apabila sel mati ia tertanggal sendiri. Kulit yang tebal ini juga terasa gatal dan panas seolah-olah terbakar.

Clubbing iaitu penebalan tisu-tisu pada dasar kuku
Penyakit paru-paru.

Garisan merah tidak sekata pada dasar lipatan kuku 
Lupus atau penyakit tisu penyambung. Lupus merupakan penyakit yang menyerang perubahan sistem kekebalan seseorang yang sampai kini belum diketahui penyebabnya. Penyakit ini muncul akibat kelainan fungsi sistem kekebalan tubuh. Dalam tubuh seseorang terdapat antibodi yang berfungsi menyerang sumber penyakit yang akan masuk ke dalam tubuh. Tetapi bagi pesakit lupus, antibodi yang terbentuk dalam tubuh muncul secara berlebihan dan menyebabkan antibodinya menyerang sel-sel jaringan organ tubuh yang sihat juga seperti sel-sel darah merah yang menyebabkan selnya hancur. Inilah yang mengakibatkan penderitanya kekurangan sel darah merah atau anemia.
  
Garisan hitam di bawah kuku
Melanoma atau kanser kulit.

Sabtu, 8 Januari 2011

Kesan Mengambil Makanan Segera


Gaya hidup zaman ini yang semakin pantas mengejar masa, menyebabkan ramai di antara kita memilih makanan segera sebagai menu hidangan. Apa lagi jika tinggal di bandar besar, tinggal pilih saja makanan segera yang diingini, semuanya di depan mata. Dah la tu, jika malas nak pergi beli, mereka boleh hantarkan ke rumah. Dengan satu panggilan telefon, makanan akan datang menemui kita. Tak cukup cash, kad plastik pun boleh dipakai. Ada yang beroperasi 24 jam atau sekurang2nya hingga larut malam, memudahkan lagi perut diisi. Tapi di sebalik kemudahan dan keenakannya pernahkah kita terfikir akan kesan sampingannya.....??


Obesiti 
Tahukah anda bahawa makanan segera merupakan punca kegemukan. Tak percaya? Dalam sebiji burger sahaja terdapat 35 peratus lemak. Itu tidak termasuk lagi dengan hidangan yang lain seperti ais krim, kentang goreng, ayam goreng, dan sebagainya. Memang lazat tetapi sanggupkah anda menderita sebelum tua akibat keseronokan yang sememangnya dapat dikecapi hanya seketika sahaja?

Ketahanan badan menjadi lemah 
Ini kerana terdapat banyak bahan kimia dimasukkan sekali dalam makanan sebagai perisa tambahan. Bukan itu sahaja, pewarna tiruan juga memberikan kesan kepada ketahanan badan manusia.

Penambahan kolestrol dan kalori secara mendadak 
Dengan mengambil makanan ringan secara kerap dan banyak akan menyebabkan kolestrol dan kalori masuk ke dalam badan. Kalau anda sempat membaca kandungan bahan pada plastik pembungkus makanan segera, anda akan mengetahui jumlah kandungan kalorinya. Setiap jenis makanan segera mempunyai kandungan minyaklemak, dan karbohidrat yang tinggi.

Diabetes
Anda tahu apakah maksud diabetes? Ia merupakan satu penyakit yang lebih dikenali sebagai kencing manis. Salah satu penyebab penyakit kencing manis adalah pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Air birkabonat dan bergas merupakan sumber utama kepada diabetes kerana kandungan gulanya memang tinggi.

Kanser 
Tahukah anda bahawa kandungan bahan kimia dan perisa yang ada dalam makanan ringan dan segera boleh menyebabkan kanser. Takut kan?

Senarai makanan segera yang kurang elok untuk kesihatan

Apa? Anda baru lepas makan mi segera? Mesti sedap kan? Tapi anda kena ingat, mi segera merupakan makanan segera yang tidak elok diamalkan sebagai makanan harian. Hendak tahu kenapa? Perencah mi segera itu mempunyai perisa ynag berlebihan dan kandungan garam yang tinggi. Kalau nak tahu, banyak lagi makanan segera yang tidak baik untuk kesihatan. Lihat contoh makanan segera di bawah ini:
i) Kentang goreng - terlalu banyak lemak dan garam dan banyak menggunakan pewarna tiruan.
ii) Burger daging - kandungan lemak yang tinggi dan bahan kimia yang banyak.
iii) Makanan ringan(jajan) - mempunyai garam dan pewarna yang tinggi.
iv) Air bikarbonat - kandungan gula yang sangat tinggi.

Ahad, 19 Disember 2010

Makanan Untuk Tulang

Rasanya ramai di antara kita yang kurang mementingkan penjagaan tulang. Apatah lagi jika masih muda belia tentunya tak rasa penting nak jaga kesihatan tulang. Maklumlah belum lagi terasa sakit-sakit sendi, atau sakit belakang. Esok-esok bila dah sakit barulah agaknya sibuk nak cari petua untuk maintain kekuatan tulang-temulang. Jadi apa kata semasa masih muda dan sihat inilah kita ambil tahu akan makanan yang boleh mengekalkan keremajaan tulang.

Kalsium
Merupakan mineral utama untuk pembentukan tulang. Jika kita kekurangan kalsium, tubuh akan mengambilnya daripada tulang dan ini akan menyebabkan masalah tulang rapuh. Kuantiti kalsium yang diperlukan sehari ialah antara 1000 mg - 1200 mg. Sumber kalsium boleh didapati daripada susu, bijirin, sayuran yang berwarna hijau gelap seperti bayam dan kangkung, ikan Sardin dan ikan-ikan lain yang dimakan bersama tulangnya dan produk-produk tenusu seperti yogurt, dadih dan keju. 


Vitamin C
Vitamin C bertindak membantu pembentukan tulang rawan dan seterusnya membentuk jaringan sendi yang sihat. Untuk hasil yang maksimum, disarankan kita mengambil 1000 mg vitamin C setiap hari. Selain pil-pil vitamin C yang berada di pasaran, kita juga boleh mendapat vitamin C secara semulajadi melalui pengambilan buah-buahan seperti tomato, pisang, nanas, oren dan betik. 


Vitamin D
Ia penting dalam membantu tulang menyerap kalsium daripada makanan sehingga 2.5 kali ganda! Kuantiti yang diperlukan sehari ialah 200 - 400 IU. Ubi kentang, sardin dan ikan tuna merupakan sumber vitamin D yang baik. Selain itu pendedahan kulit kepada cahaya matahari sebelum jam 9 pagi dan selepas jam 5 petang juga membantu tubuh dalam mendapatkan vitamin D. 


Vitamin B12
Kekurangan vitamin ini boleh melemahkan kekuatan tulang. Pengambilan multivitamin yang mengandungi vitamin B12 sebanyak 2.4 mkg boleh membantu mengatasi masalah ini. Antara makanan yang mengandungi sumber vitamin B12 ialah telur, hati, daging dan ikan. 


Zat Besi
Ia membantu menyalurkan oksigen ke sel-sel darah yang diperlukan oleh anti oksidan bagi mengatasi kerosakan pada sendi. Zat besi boleh diperolehi daripada tomato, avokado, pisang dan kurma. 


Protein
Jumlah protein yang diperlukan untuk kesihatan tulang ialah  45 -56 g sehari. Terdapat banyak makanan yang mengandungi protein seperti ikan, bijirin, telur, kekacang, susu dan daging. 


Magnesium
Jisim tulang boleh ditingkatkan dengan pengambilan magnesium sebanyak 400 mg sehari. Sumber utama magnesium ialah ikan, almond, bayam, pisang dan kismis. 


Kalium
Ia membantu pembentukan tulang dengan mengambilnya sebanyak 4700 mg sehari. Kalium boleh didapati daripada makanan-makanan ini : kacang tanah, almond, ikan salmon, pisang, strawberi, aprikot, kentang, kobis, mentimun, terung, lobak, kunyit, ikan tuna, brokoli, bayam dan tomato. Wah!!! Banyak bukan.


Nampaknya dengan mengambil sejenis makanan seperti bayam, susu atau pun pisang sudah merangkumi beberapa mineral dan vitamin yang diperlukan oleh tulang. Tak susah untuk amalkannya memandangkan makanan-makanan ini tidak sukar didapati di negara kita. Pokok pangkalnya malas atau rajin, disiplin atau tidak, itu saja kan.

Isnin, 6 Disember 2010

DOA AKHIR TAHUN

Esok kita dah nak sambut satu lagi tahun baru Islam kan....1432 Hijrah. Alhamdulillah dipanjangkan lagi umur kita untuk bertemu dengan tahun baru ini. Sebagai insan biasa dah tentu tak lepas daripada melakukan kesilapan-kesilapan sepanjang tahun yang bakal berlalu. Apabila nak melangkah ke tahun yang baru kita digalakkan memohon ampun ke atas kesilapan-kesilapan lalu dan berazam untuk memperbaiki kelemahan diri pada masa-masa hadapan. Jadi menjelang akhir tahun ini jangan lupa dibacakan doa ini :

 
بسم الله الرحمن الرحيم

"Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan pada tahun ini daripada perkara2 yang Engkau tegah aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. 
Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya.
Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkan ku dengan taubat selepas keberanianku melakukan semua dosa-dosa itu. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. 
Dan tidaklah aku melakukan perkara2 selain yang Engkau redhai dan Engkau menjanjikan ku pahala atas yang demikian itu. 
Maka aku memohon kepada Mu. 

Wahai Tuhan, wahai Yang Maha Pemurah, wahai Yang Maha Agung dan Yang Maha Mulia, 
terimalah taubatku dan janganlah Engkau hampakan harapan ku.
Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka."

Sesiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata : 
"Hampalah kami pada sepanjang tahun ini"