My FoLLoWers~TQ~

Ahad, 12 Ogos 2012

Istimewanya Malam-malam Terakhir Ramadhan

Selalunya awal-awal Ramadhan tu penuh sesaklah masjid, ye tak?? Sampaikan kalau datang lewat sikit jer, mesti tak ada ruang dah nak solat jemaah. Tapi semakin lama makin berkurangan jemaah, apa lagi pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan, memang ketara banyak ruang kosong. Macam-macam kekangan yang membuatkan jadi begitu, sibuk buat persiapan rayalah, sibuk nak siap-siap balik kampung, buat kuih, pasang langsir, macam-macam hal, pendek kata sibuk sungguhlah masa ni kan.


Walhal ramai yang sedia maklum pada 10 malam terakhir inilah mempunyai banyak kelebihan iaitu wujudnya satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar. Keistimewaan malam Lailatul Qadar ialah :-

1. Malam Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada 1000 bulan atau bersamaan 83 tahun umur kita.

2.  Disifatkan sebagai malam yang berkat dan mempunyai keistimewaan yang banyak, kerana malaikat akan turun bersama-sama berkat dan rahmat Allah SWT.

3. Al Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun.

4. Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia.

5. Allah mengampunkan hambaNya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.

Malam Lailatul Qadar yang menjadi misteri setiap Ramadhan
Ramai yang berteka-teki malam yang mana satukah malam Lailatul Qadar ? Dalam hal ini Rasulullah SWT telah bersabda " Carilah lailatul Qadar pada malam 10 terakhir Ramadhan" - Riwayat Bukhari dan Muslim. Sabda Baginda lagi " Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir ". - Hadis Riwayat Bukhari.


Bagaimanakah rasanya atau tanda-tanda terjadinya malam Lailatul Qadar ? Beberapa tanda-tandanya disifatkan seperti berikut :-

1. Udara dan angin sekitarnya terasa tenang seperti Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ini :- " Lailatul Qadar adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar lembut kemerah-merahan".

2. Malaikat menurunkan ketenangan sehingga manusia pun dapat merasakannya dan merasa nikmat dalam beribadah yang tidak diperolehi pada hari-hari lain.

3. Manusia dapat melihat malam ini dalam mimpinya sebagaimana terjadi pada sebahagian sahabat Rasulullah SWT.

4. Matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan jernih, tiada sinar. Dari Abi bin Ka'ab, bahawa Rasulullah SWT bersabda " Subuh hari dari malam Lailatul Qadar ialah matahari terbit tanpa sinar, seolah-olah seperti lampu di dalam bekas sehingga matahari itu naik" - Hadis Riwayat Muslim.


5. Pada malam itu, Malaikat Jibril akan menyalami orang yang sedang beribadah yang menyebabkan mereka akan terasa sangat hiba dan sayu yang kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

Begitulah tips-tips yang boleh kita jadikan panduan untuk mencari malam yang penuh barakah ini. Semoga Allah SWT memudahkan dan memberi peluang kepada kita untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan