Tak tahulah tetiba jer terasa nak menulis tentang kawan-kawan lama aku yang berbangsa cina. Idea datang tanpa diundang, hehehe!! Ok lah, meh baca aku berlipur lara tentang mereka ni, have fun!!! Tapi untuk entri kali ini aku cerita tentang sorang kawan jer dulu lah. Ye lah, kalau entri panjang-panjang korang tertidur pulak kan.
Miss Tembam
Dia ni lah kawan pertama masa keluarga aku berhijrah ke Kelantan. Aku ingat lagi, pertama kali dia datang menegur sewaktu aku membeli pensil warna bersama atuk di sebuah kedai yang berhampiran rumahnya. Jenama pensil tu pun aku masih ingat, LUNA, haha. Kebetulan pula selepas itu dia adalah rakan sekelas aku di sekolah rendah. Aku tak ingat masa darjah berapa dia mula sekelas dengan aku. Tapi yang aku ingat dari darjah 3 sehingga darjah 6 memang kami sekelas.
Bila aku ke kedai membeli barang, pasti singgah di rumahnya yang merupakan salah satu deretan kedai di situ. Ayahnya bertani dan juga menjual barang-barang pertukangan di rumah kedai yang mereka tinggal. Khabarnya sudah lama mereka sekeluarga menetap di kampung ini. Nenek ku sendiri kenal dengan keluarganya. Menurut nenek aku, datuk dan nenek dia dulu pernah menganut Islam. Tetapi selepas kematian arwah datuknya semasa menunaikan haji di Mekah, neneknya kembali ke agama asal mereka.
Kami berpisah apabila bersekolah menengah kerana masing-masing tinggal di asrama. Namun begitu, setiap kali cuti sekolah, kami pasti saling mengunjungi rumah masing-masing. Kami akan bertukar-tukar majalah hiburan dan novel, sibuk bergosip pasal artis tempatan, hehe. Masih ingat lagi, jika lama aku tidak ke rumahnya, ibunya lah yang riuh-rendah bertanyakan nenek aku kenapa aku sudah lama tak datang.
Masih segar di ingatan, selepas SPM kami sama-sama sibuk ke bandar untuk menguruskan borang-borang permohonan ke kolej. Dari kampung ke bandar memakan masa 1 jam juga menaiki bas. Banyak kali juga kami terpaksa ke bandar untuk uruskan hal ini. Namun itu bukannya halangan untuk kami mengejar impian masing-masing.
Hubungan kami kian renggang apabila menyambung pelajaran ke negeri berlainan selepas sekolah. Aku pun dah tak ingat, masa kahwin dulu aku jemput dia dan keluarganya ke tidak, huhuhuk. Selepas masing-masing kerja, memang tak jumpa langsung dah. Khabarnya dia kerja di salah sebuah hospital di KL, dan aku pula di Utara Tanah air.
Kali terakhir dengar berita tentang dia ni ialah beberapa bulan lepas. Itu pun secara kebetulan aku terjumpa adik bongsu dia. Dari adik dia lah aku dapat tahu yang kawan aku ni masih membujang lagi dan satu lagi dia dah slim, tak tembam lagi, hehe. Maklumlah adik dia ni trainer pelangsingan badan, mestilah kena slim kan kakaknya dulu kan. Ada juga aku tinggalkan nombor telefon untuk dia, tapi sehingga sekarang tak ada berita. Nak add dia kat facebook pun, memang dia tak ada akaun. Apa-apa pun aku doakan kebahagiaannya walau kami tak lagi berhubung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan