My FoLLoWers~TQ~

Ahad, 19 Disember 2010

Makanan Untuk Tulang

Rasanya ramai di antara kita yang kurang mementingkan penjagaan tulang. Apatah lagi jika masih muda belia tentunya tak rasa penting nak jaga kesihatan tulang. Maklumlah belum lagi terasa sakit-sakit sendi, atau sakit belakang. Esok-esok bila dah sakit barulah agaknya sibuk nak cari petua untuk maintain kekuatan tulang-temulang. Jadi apa kata semasa masih muda dan sihat inilah kita ambil tahu akan makanan yang boleh mengekalkan keremajaan tulang.

Kalsium
Merupakan mineral utama untuk pembentukan tulang. Jika kita kekurangan kalsium, tubuh akan mengambilnya daripada tulang dan ini akan menyebabkan masalah tulang rapuh. Kuantiti kalsium yang diperlukan sehari ialah antara 1000 mg - 1200 mg. Sumber kalsium boleh didapati daripada susu, bijirin, sayuran yang berwarna hijau gelap seperti bayam dan kangkung, ikan Sardin dan ikan-ikan lain yang dimakan bersama tulangnya dan produk-produk tenusu seperti yogurt, dadih dan keju. 


Vitamin C
Vitamin C bertindak membantu pembentukan tulang rawan dan seterusnya membentuk jaringan sendi yang sihat. Untuk hasil yang maksimum, disarankan kita mengambil 1000 mg vitamin C setiap hari. Selain pil-pil vitamin C yang berada di pasaran, kita juga boleh mendapat vitamin C secara semulajadi melalui pengambilan buah-buahan seperti tomato, pisang, nanas, oren dan betik. 


Vitamin D
Ia penting dalam membantu tulang menyerap kalsium daripada makanan sehingga 2.5 kali ganda! Kuantiti yang diperlukan sehari ialah 200 - 400 IU. Ubi kentang, sardin dan ikan tuna merupakan sumber vitamin D yang baik. Selain itu pendedahan kulit kepada cahaya matahari sebelum jam 9 pagi dan selepas jam 5 petang juga membantu tubuh dalam mendapatkan vitamin D. 


Vitamin B12
Kekurangan vitamin ini boleh melemahkan kekuatan tulang. Pengambilan multivitamin yang mengandungi vitamin B12 sebanyak 2.4 mkg boleh membantu mengatasi masalah ini. Antara makanan yang mengandungi sumber vitamin B12 ialah telur, hati, daging dan ikan. 


Zat Besi
Ia membantu menyalurkan oksigen ke sel-sel darah yang diperlukan oleh anti oksidan bagi mengatasi kerosakan pada sendi. Zat besi boleh diperolehi daripada tomato, avokado, pisang dan kurma. 


Protein
Jumlah protein yang diperlukan untuk kesihatan tulang ialah  45 -56 g sehari. Terdapat banyak makanan yang mengandungi protein seperti ikan, bijirin, telur, kekacang, susu dan daging. 


Magnesium
Jisim tulang boleh ditingkatkan dengan pengambilan magnesium sebanyak 400 mg sehari. Sumber utama magnesium ialah ikan, almond, bayam, pisang dan kismis. 


Kalium
Ia membantu pembentukan tulang dengan mengambilnya sebanyak 4700 mg sehari. Kalium boleh didapati daripada makanan-makanan ini : kacang tanah, almond, ikan salmon, pisang, strawberi, aprikot, kentang, kobis, mentimun, terung, lobak, kunyit, ikan tuna, brokoli, bayam dan tomato. Wah!!! Banyak bukan.


Nampaknya dengan mengambil sejenis makanan seperti bayam, susu atau pun pisang sudah merangkumi beberapa mineral dan vitamin yang diperlukan oleh tulang. Tak susah untuk amalkannya memandangkan makanan-makanan ini tidak sukar didapati di negara kita. Pokok pangkalnya malas atau rajin, disiplin atau tidak, itu saja kan.

Isnin, 6 Disember 2010

DOA AKHIR TAHUN

Esok kita dah nak sambut satu lagi tahun baru Islam kan....1432 Hijrah. Alhamdulillah dipanjangkan lagi umur kita untuk bertemu dengan tahun baru ini. Sebagai insan biasa dah tentu tak lepas daripada melakukan kesilapan-kesilapan sepanjang tahun yang bakal berlalu. Apabila nak melangkah ke tahun yang baru kita digalakkan memohon ampun ke atas kesilapan-kesilapan lalu dan berazam untuk memperbaiki kelemahan diri pada masa-masa hadapan. Jadi menjelang akhir tahun ini jangan lupa dibacakan doa ini :

 
بسم الله الرحمن الرحيم

"Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan pada tahun ini daripada perkara2 yang Engkau tegah aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. 
Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya.
Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkan ku dengan taubat selepas keberanianku melakukan semua dosa-dosa itu. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku. 
Dan tidaklah aku melakukan perkara2 selain yang Engkau redhai dan Engkau menjanjikan ku pahala atas yang demikian itu. 
Maka aku memohon kepada Mu. 

Wahai Tuhan, wahai Yang Maha Pemurah, wahai Yang Maha Agung dan Yang Maha Mulia, 
terimalah taubatku dan janganlah Engkau hampakan harapan ku.
Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka."

Sesiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata : 
"Hampalah kami pada sepanjang tahun ini"





Jumaat, 3 Disember 2010

Indahnya Melaka

Rasa teruja sungguh bila tiba di Melaka. Mana taknya tempat-tempat dan bangunan-bangunan yg selama ini hanya dapat dilihat menerusi buku-buku sejarah dan TV kini terbentang di depan mata. Tercari-cari bangunan peninggalan Portugis yang paling popular iaitu A'Famosa....dan....dah nampak, nun di depan sana. Disinari cahaya lampu di waktu malam, bangunan tua yang telah berusia 500 tahun ini terlihat masih gagah berdiri.


A'Famosa
Juga dikenali sebagai Porta De Santiago, merupakan sebuah kubu lama yang dibina oleh Laksamana Portugis yang telah berjaya menakluk Melaka iaitu Alfonso d'Albuquerque pada tahun 1511. Tempat ni kiranya wajib dilawati jika ke Melaka. Waktu malam pun masih ada pengunjung yang melawatnya, apatah lagi waktu siang, berpusu-pusu orang datang. Kebetulan masa kami ke sini, cuti sekolah dah mula, maka banyaklah rombongan sekolah yang kelihatan di sini.


Runtuhan Gereja St. Paul
Di belakang A'Famosa ialah bukit St. Paul. Di atas bukit inilah terletaknya runtuhan gereja St. Paul yang tidak digunakan lagi. Dibina pada tahun 1521 oleh seorang kapten Portugis beragama Katholik iaitu Duarte Coelho. Selepas Belanda mengambil alih gereja ini, ia dinamakan gereja St. Paul. Menurut sejarah, St. Francis Xavier dikebumikan di sini pada tahun 1553, sebelum mayatnya dipindahkan ke Goa, India.


Bangunan yang kelihatan sangat usang ini, begitu indah dan berseni pada pandanganku. Senibinanya ringkas tetapi artistik. Bumbungnya telah tiada dan banyak terdapat kubur2 Portugis dan Belanda di dalamnya dan juga di persekitaran luar gereja. Ada juga yang cari makan di sini dengan berniaga di luar bangunan dan ada yang menyanyi sambil bermain gitar di dalam bangunan. Sungguh ramai pelancong asing ke sini, terutamanya dari Britain dan Japan. Dari luar perkarangan gereja, boleh dilihat pemandangan indah negeri Melaka seperti Selat Melaka, menara Taming sari dan replika kapal Portugis.

Muzium Islam
Menuruni bukit St. Paul kami ke muzium Islam pula yang terletak di kaki Bukit St. Paul. Bangunan yang menempatkan muzium ini asalnya adalah bangunan Belanda dan juga British. Dulunya tempat ni digunakan sebagai pejabat majlis agama Islam Melaka. Di dalamnya dipamerkan replika2 masjid tua dari serata negeri, mimbar antik dan barang2 yang digunakan pada zaman kegemilangan Islam.


Muzium Rakyat, Muzium Kecantikan dan Muzium Layang-layang


Ketiga-tiga muzium ini terletak di dalam sebuah bangunan tiga tingkat dan tak jauh dari muzium islam. Sebenarnya terdapat 22 buah muzium semuanya di seluruh negeri Melaka dan majoritinya adalah di Kota Melaka. Dengan tiket serendah RM1 anda boleh menyaksikan pelbagai barangan unik peninggalan sejarah. Kesemua muzium ini diselenggarakan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Muzium Rakyat mendokumentasikan pembangunan sosial dan ekonomi negara. Muzium kecantikan meyimpan barang-barang seperti kasut cina dan anting-anting yang digunakan manusia dahulu untuk mencantikkan diri. Manakala di dalam muzium layang2 pula terdapat pelbagai bentuk layang-layang yg cantik dan unik. Bersebelahan muzium ini ialah Muzium Dunia Melayu.

Istana Kesultanan Melaka (Muzium Budaya)
Replika istana ini juga adalah tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi. Terletak di kaki bukit St. Paul, bila berada di sini, terasa bagaikan berada di zaman silam. di dalamnya dipamerkan pelbagai pakaian tradisional dari semua negeri di Malaysia, alat-alat kebesaran Di-raja, replika-replika kecil istana Raja-Raja Melayu, peralatan muzik dan barang-barang perhiasan lama. Patung-patung yang menceritakan tentang pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat juga antara yang menarik. Terdapat sebuah balairong seri yang menempatkan patung-patung Raja dan pembesar-pebesar istana seperti yang biasa kita lihat dalam filem-filem Melayu lama.


Muzium Maritime @ Muzium Samudera

Ianya merupakan sebuah replika kapal Portugis Flor de la Mar yang pernah karam di perairan Melaka. Muzium ini juga sangat menarik untuk dikunjungi dan terasa seperti menaiki kapal yang sangat besar. Antara barang-barang yang dipamerkan ialah patung Hang Tuah, model kapal, peta asal dan peti besi lama. Bersebelahan kapal ini ialah Muzium Marin dan Muzium Kastam.

Masjid Kampung Hulu
Terletak di Chinatown, ia adalah antara yang tertua di Malaysia. Dibina pada tahun 1728, ia mempunyai senibina unik pengaruh Cina dan Sumatera. Majoriti masjid di Melaka mempunyai rekabentuk yang begini dengan bumbung berbentuk piramid atau minangkabau dan menara berbentuk pagoda.

Masjid Kg Hulu ni adalah yg utama bagi masyarakat Islam di sini kerana dipercayai mempunyai keramat. Menurut masyarakat setempat ramai penduduk tempatan mahupun yang datang dari jauh datang bersolat di sini dan meminum air kolahnya untuk memohon hajat, dan kebanyakan hajat telah tertunai. Aku juga sempat mengambil dua botol air kolah masjid ini untuk dibawa pulang walaupun tidaklah begitu percaya dengan dakwaan tersebut. Tak jauh dari masjid ini ialah sebuah lagi masjid tua yang dibina pada tahun 1748, iaitu masjid Kg Keling. Berhampiran masjid Kg Keling ialah sebuah tokong lama yang dibina pada tahun 1646 iaitu Tokong Cheng Hoon Teng.

Melaka River Cruise
Jika ke Melaka jangan lepaskan peluang menaiki MRC yang cukup popular di kalangan pelancong ini. Tahun ini saja dah lebih setengah juta orang yang menaiki bot MRC ini. Walaupun harga tiketnya mungkin mahal sedikit iaitu RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, namun pengalaman menyusuri Sungai Melaka yang terletak di tengah-tengah Kota Melaka ini tentunya tidak mengecewakan. Pelancong akan dibawa dari Taman Rempah hingga Muara Sg Melaka yang mengambil masa kira-kira 45 minit. Antara pemandangan yang boleh dilihat di sepanjang sungai Melaka ialah Kg Morten, kincir air, jambatan, bangunan-bangunan lama dan eye on Melaka. Bot ini beroperasi hingga waktu malam. Pada malam hari pelancong akan berpeluang menikmati keindahan cahaya lampu yang di pasang pada pokok-pokok, tembok-tembok jalan dan bangunan di sepanjang sungai.


Jonker Walk
Jonker Walk atau Jalan Hang Jebat merupakan jantung hati Kota Melaka lama. Di sinilah terdapatnya galeri-galeri seni, kedai-kedai antik, tukang emas, kedai baiki jam, pengeluar kasut manik dan kedai-kedai makan. Ia boleh juga dikatakan seperti chinatown kerana majoriti pekedai-pekedai di sini ialah dari kaum cina. Jalan ini akan lebih meriah pada setiap petang jumaat, sabtu dan ahad dengan adanya pasar malam yang diadakan oleh kaum cina juga. Bersesuaian dengan nama jalan ini, terdapat satu lorong untuk ke makam Hang Jebat di sini.


Kompleks Stadthuys
Bangunan ini dibina oleh Belanda antara tahun 1641 - 1660. Merupakan pejabat pentadbiran Belanda yang menempatkan kediaman rasmi gebenor-gabenor Belanda dan pegawai-pegawainya. Suatu ketika dulu, bangunan ini juga menempatkan Majlis Bandaran Melaka dan kini ia dijadikan muzium. Terdapat 5 buah muzium di dalamnya iaitu Muzium Sejarah Melaka, Muzium Sastera, Muzium Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Galeri Laksamana Cheng Ho dan Muzium Pemerintahan Demokrasi. Berdekatan bangunan Stadthuys ini ialah jam besar, Gereja Christ dan Muzium Belia yang juga merupakan bangunan tinggalan Belanda. Apa yang menarik kesemuanya berwarna merah salmon.


Dataran Portugis
Terletak di perkampungan Portugis yang berhampiran laut Melaka. Terdapat berbagai-bagai aktiviti kebudayaan Portugis di sini pada setiap hari sabtu, tetapi kami ke sana pada malam isnin itu hanyalah untuk menikmati masakan Portugis sahaja. Enak juga masakan Portugis, hingga kini masih terkenang-kenang kelazatan ikan bakar jenahaknya yang pedas, scallop masak mentega dan kangkung goreng. Selain masakan Portugis, kami juga sempat merasa masakan baba & nyonya di Melaka Sentral. Sedikit terkilan kerana tak sempat merasa asam pedas Melaka yang terkenal dan juga makanan laut di Umbai.


A'Famosa Animal World Safari



Setelah puas menyelusuri Kota Melaka selama 3 hari, kali ni destinasi kami jauh dari bandar. A Famosa Resort terletak di Alor Gajah, Melaka, kira-kira 35 km dari Bandar Melaka. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit itu akhirnya menemukan kami dengan sebuah resort yang cantik seluas 520 hektar.

A Famosa Resort merangkumi Cowboy Town, Water World dan Animal World Safari. Kami hanya ke Animal World Safari dan menghabiskan masa di sini sehari suntuk. Harga tiket bagi dewasa ialah RM48 dan RM38 bagi kanak-kanak (termasuk lunch). Antara yang menarik di sini ialah menyaksikan 4 jenis pertunjukan iaitu elephant show, multi animal show, bird show dan wild wild west show. Pengalaman menunggang gajah di sini buat pertama kali merupakan kenangan yang tak dapat dilupakan. Selain show, kami juga tak lepaskan peluang menjelajah ladang-ladang haiwan seperti seladang, rusa, harimau dan singa dengan truck. Pulau monyet juga sesuatu yang wajib dikunjungi jika ke sini.

Perigi Hang Li Poh
Dalam perjalanan pulang ke Bandar Melaka dari A Famosa Resort, singgah pula di perigi Hang Li Poh yang dibina pada zaman Sultan Mansur Syah dalam tahun 1459. Sultan membina perigi ini khas buat isterinya yang merupakan puteri Raja dari negara China pada zaman Dinasti Ming. Terletak di Bukit Cina, perigi ini sekarang digunakan orang untuk memohon hajat dengan membaling syiling ke dalamnya. Jika meminum airnya dipercayai orang tersebut akan kembali semula ke Melaka.


Sebenarnya masih banyak lagi tempat2 menarik di Melaka yang tak sempat dikunjungi seperti Ayer Keroh yang menempatkan zoo Melaka, hutan rekreasi, Mini Malaysia, Mini Asean, taman buaya dan taman kupu-kupu. Di sekitar Bandar Melaka sendiri pun masih banyak tempat yang tak sempat pergi seperti kubu St. John, makam Hang Tuah, muzium warisan Baba & Nyonya, Muzium Chitty dan Kg Morten (Muzium Hidup). Memang tak rugi ke Melaka, negerinya indah, rakyatnya juga ramah.

Rabu, 1 Disember 2010

Adakah KIAMAT sudah hampir????

22 Tanda Kiamat Semakin Hampir

1. Solat diabaikan (di ringan2kan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui internet, iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan yg salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka kepada ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya.

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

13 Tanda-tanda Kiamat Lain

1) Penaklukan Baitulmuqaddis
Dari Auf b. Malik r.a. katanya,Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku menghitung 6 perkara menjelang hari kiamat".Baginda menyebutkan salah satunya ialah penaklukan Baitulmuqaddis - Sahih Bukhari.

2) Zina bermaharajalela
'Dan tinggallah manusia2 yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.'- Sahih Muslim.

3) Bermaharajalela alat muzik
"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan & perubahan muka". Ada
yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?'Baginda menjawab: "Apabila telah
bermaharajalela bunyian(muzik) & penyanyi² wanita"- Ibnu Majah

4) Menghias masjid & membanggakannya
"Di antara tanda2 telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegahan dalam mendirikan masjid"- Riwayat Nasai.

5) Munculnya kekejian, memutuskan kerabat & hubungan dengan tetangga tidak baik
"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan & perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim & sikap yang buruk dalam tetangga."- Riwayat Ahmad dan Hakim.

6) Ramai orang soleh meninggal dunia
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang2 yang baik & ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang2 yang hina & buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran" - Riwayat Ahmad

7) Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat
"Di antara tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang jahat & hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh 2 orang mulia'- Riwayat Thabrani

8) Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja
"Sesungguhnya di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.'- Riwayat Ahmad

9) Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. "Di antara tanda² telah hari kiamat ialah akan muncul pakaian² wanita & apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang".

10) Bulan sabit kelihatan besar
"Di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit"- Riwayat Thabrani.

11) Banyak dusta & tidak tepat dalam menyampaikan berita
"Pada akhir zaman akan muncul pembohong2 besar yang datang kepadamu dengan membawa berita2 yang belum pernah kamu dengar & belum pernah didengar oleh bapa2 kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu & memfitnahmu" - Sahih Muslim.

12) Banyak saksi palsu & menyimpan kesaksian yang benar
"Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu & disembunyikan kesaksian yang benar."-Riwayat Ahmad.

13) Negara Arab menjadi padang rumput & sungai
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga negera Arab kembali menjadi padang rumput & sungai²"- Sahih Muslim.

~~Wallahu alam~~